Suhaimi terima pujian lawan, Tomi kecewa tak dapat bawa pulang 3 mata penuh


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Suhaimi menampilkan persembahan cemerlang ketika membantu pasukannya seri di tempat lawan dalam aksi kedua Piala AFC. — Facebook/Terengganu FC

PERSEMBAHAN cemerlang sekali lagi dipamerkan penjaga gawang Terengganu FC, Suhaimi Husin ketika aksi Piala AFC antara pasukannya dengan kelab Indonesia, Bali United.

Dalam pertembungan di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada Rabu, kedua-dua pasukan perlu berpuas hati dengan satu mata setelah mereka terikat dengan keputusan 1-1.

Penyerang sayap Bali United, Privat Mbarga meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-54, namun gagal untuk melebarkan jurang apabila Suhaimi bertindak cemerlang.

Skuad Sang Penyu kemudiannya terus mengasak dan mereka berhasil untuk mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Syahmi Zamri beberapa minit sebelum aksi ditamatkan.

Keputusan berkenaan menyaksikan Terengganu FC terus mengekalkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan G sementara Bali United terus mengungguli carta.

Mengulas akan perlawanan itu, pengendali wakil dari Indonesia tersebut, Stefano Cugurra sempat memberikan pujian terhadap penjaga gol pasukan Pantai Timur terbabit.

370159386_305877995486975_4902712582001173238_n

Skuad Sang Penyu masih boleh berpuas hati dengan satu mata yang dibawa pulang. — Facebook/Terengganu FC

"Kami gagal mendapatkan keputusan yang diharapkan kerana mereka sering mematahkan gerakan kami.

"Kami cuba untuk terus menyerang selepas Terengganu FC menyamakan kedudukan, namun penjaga gawang mereka berjaya menepis beberapa percubaan," katanya.

Sebelum ini, Suhaimi menerima pujian daripada penyokong bola sepak atas prestasi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan, termasuk ketika di Piala AFC.

Ia sekali gus menyaksikan namanya tersenarai dalam skuad kebangsaan buat kali pertama dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberikannya peluang untuk beraksi ketika Pestabola Merdeka.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berasakan pasukannya wajar membawa pulang tiga mata daripada perlawanan terbabit.

"Saya percaya kami berhak untuk mendapatkan keputusan lebih baik kerana kami mengawal permainan. Tetapi, saya juga melihat pemain saya tidak segera bangkit selepas Bali United berada di hadapan," katanya.

Selepas ini, Terengganu FC bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi pertama Piala Malaysia pada 21 Oktober sebelum berdepan Stallion Laguna dalam perlawanan ketiga Piala AFC pada 26 Oktober. — The Star/K M Boopathy

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram