Bumi Huangzhou jadi saksi negara lakar sejarah dalam 7 acara


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 45 negara dengan enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa.

BERMULA 23 September lalu, mata penyokong sukan tanah air tertumpu kepada temasya Sukan Asia 2022 yang berlangsung di bumi Hangzhou, China sambil menanti adakah wira dan wirawati negara berhasil mencapai sasaran ditetapkan iaitu sebanyak 27 pingat.

Penantian itu berakhir dan terjawab apabila kontinjen Malaysia membawa pulang 32 pingat secara keseluruhannya, sekali gus melepasi sasaran 27 pingat yang disasarkan sebelum mereka berlepas ke Hangzhou.

Kontinjen Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-14 daripada 45 negara, manakala tuan rumah, China sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan dengan 201 emas, 111 perak dan 71 gangsa.

Lebih manis apabila pingat diraih itu adalah hadiah yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama dan akhirnya segala pengorbanan tenaga serta masa diluangkan untuk latihan membuahkan hasil di bumi Hangzhou.

Daripada acara terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wushu sehingga ke e-sukan, peluh dan air mata jadi saksi pengorbanan para atlet kebangsaan.

Sempena Sukan Asia yang sudah melabuhkan tirainya pada 8 Oktober lalu, Majoriti berkongsi tujuh detik bersejarah kontinjen Malaysia sepanjang temasya terbesar di rantau Asia itu;

1) Shereen Samson

Malaysia's Vallabouy Shereen Samson leads the women's 400m heat 3 at the 19th Asian Games in Hangzhou, China, Friday, Sept. 29, 2023. (AP Photo/Vincent Thian)

Shereen kini bergelar atlet profesional selepas menamatkan pengajiannya di Winona State University di Minnesota.

Puteri kepada bekas pelari kebangsaan, Josephine Mary iaitu Shereen Samson Vallabouy menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk meraih sebutir pingat dalam acara olahraga di Sukan Asia.

Pelari yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu meraih pingat gangsa dalam acara 400 meter (m) untuk negara selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 52.58 saat (s).

Shereen yang berusia 25 tahun menjadi atlet wanita pertama negara meraih pingat di Sukan Asia selepas Noraseela Mohd Khalid memenangi gangsa 400m lari berpagar di Doha 2006.

2) Azeem Fahmi

Bronze medalist Malaysia's Muhammad Azeem bin Mohd Fahmi celebrates on the podium during the victory ceremony for the men's 100-meter at the 19th Asian Games in Hangzhou, China, Saturday, Sept. 30, 2023. (AP Photo/Vincent Thian)

Azeem ketika ini menyambung pengajian di Universiti Auburn di Alabama, AS sejak Januari lalu.

Catatan masa selama 10.11s memberi kelayakan untuk pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi meraih pingat gangsa dalam acara 100m di Stadium Olimpik Hangzhou, pada 30 September lalu.

Bukan hanya pencapaian peribadi memenangi pingat sulungnya di peringkat antarabangsa, atlet berusia 19 tahun itu turut menoktahkan penantian 41 tahun kem olahraga dalam acara 100m.

Pada edisi Sukan Asia 1982 di New Delhi, India, Datuk Rabuan Pit menjadi atlet terakhir sukan olahraga kebangsaan yang memperoleh pingat yang mana beliau memperoleh emas untuk acara utama atau reben biru itu.

3) Qabil Ambak

True star: Qabil Ambak wins Malaysia's first gold in equestrian at the Asian Games.

Qabil Ambak antara atlet berpengalaman bagi sukan ekuestrian.

‘Usaha tidak akan mengkhianati hasil’, demikian ungkapan sesuai untuk menggambarkan perjuangan Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil yang berhasil mencapai pingat emas selepas 25 tahun mencuba di Sukan Asia.

Qabil Ambak, 43, mencipta sejarah membanggakan apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam sukan ekuestrian selepas mengungguli acara dressage individu di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Atlet yang membuat penampilan sulungnya di Sukan Asia di Bangkok 1998 itu menewaskan juara bertahan Jacqueline Siu dari Hong Kong denga mengumpul keseluruhan 75.780 mata bersama kudanya, Rosenstolz.

4) Sharul Aimy

Malaysia’s Muhammad Sharul Aimy Kamarul Hisham in action to win bronze medal in Vault event gymnastics at Huanglong Sports center Gymnasium in19th Asian Games in China yesterday..29/09//2023/S.S.Kanesan/The Star.

Sharul Aimy menyambung kejayaan jurulatihnya, Shu Wai.

Atlet tampan gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menamatkan kemarau selama 17 tahun negara tanpa sebarang pingat dalam sukan tersebut di Sukan Asia dengan meraih gangsa acara melombol di Hangzhou.

Sharul Aimy berusia 22 tahun dari Terengganu itu memperoleh 14.466 mata untuk menduduki tempat ketiga, di belakang pemenang pingat emas dari Jepun, Wataru Tanigawa (15.016) dan pemenang pingat perak dari Iran Mahdi Olfati (14.783).

Kemenangan itu bertambah manis apabila Sharul Aimy berjaya menyambung legasi jurulatihnya, Ng Shu Wai yang merupakan gimnas terakhir negara memenangi pingat dengan membawa pulang perak acara sama pada edisi 2006 di Doha, Qatar.

5) Datuk Pandelela Rinong

Asian Games - Hangzhou 2022 - Diving - Aquatic Sports Arena, Hangzhou, China - October 3, 2023Malaysia's Pandelela Rinong Pamg in action during the Women's 10m Platform final REUTERS/Eloisa Lopez

Pandelela membuat penampilan debut Sukan Asia pada 2010.

Tangisan mengiringi penerjun elit negara, Datuk Pandelela Rinong yang kembali meraih pingat acara individu di temasya Sukan Asia selepas 13 tahun apabila merangkul gangsa pada final 10m platform wanita.

Selepas beberapa kali mencuba untuk meraih pingat individu di Sukan Asia, anak jati Sarawak itu mengulangi kejayaan merangkul gangsa dalam acara sama pada penampilan pertamanya di Guangzhou, China pada 2010.

Dua terjunan terakhir membantu atlet berusia 30 tahun itu mengesahkan gangsa menjadi miliknya selepas mengumpul keseluruhan 280.50 mata di belakang Quan Hongchan yang merangkul emas (438.20 mata) dan Chen Yuxi membawa pulang perak (435.65 mata).

6) Kuartet 4×100m wanita negara

Sprint queens: (from left) Shereen Samson Vallabouy, Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias and Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal celebrate their 4x100m bronze on the podium. — S.S.KANESAN/The Star

Kuartet 4×100m wanita negara ketika menerima pingat gangsa milik mereka.

Ibarat rezeki terpijak buat kuartet 4x100m wanita negara apabila merangkul pingat gangsa pada final acara Sukan Asia itu selepas penyertaan kuartet Bahrain dibatalkan.

Gandingan Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy menjadi kombinasi bertenaga yang akhirnya mencatat masa 45.01s untuk menamatkan saingan di tempat keempat.

Walaupun ada yang mengatakan nasib baik namun pantas untuk berikan pujian setinggi gunung untuk kuartet 4x100m wanita negara yang menyumbang pingat di Sukan Asia dalam tempoh 57 tahun.

Pasukan pertama memenangi gangsa ialah Cheryl Dorall, Jacqeline Kleinman, Mary Rajamani dan Rajemah Sheikh Ahmad dalam Sukan Asia 1966.

7) Arena of Valor (AoV)

AOV

Pasukan e-sukan negara dipercayai mampu memberi lebih banyak pingat di masa akan datang.

Skuad e-sukan negara mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam penyertaan kali pertama mereka Sukan Asia Hangzhou.

Dalam pertarungan final Arena of Valor (AoV), skuad negara yang dibarisi Lai Chia Chien, Nicholas Ng, Eng Jun Hao, Yong Zhen Quang dan Chong Han Hui tewas kepada China dengan keputusan 0-2.

Pencapaian kem e-sukan tanah air membuktikan masa depan cerah menanti Malaysia untuk acara tersebut dan mungkin akan menjadi lubuk emas kontinjen kebangsaan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram