
SABAH FC meneruskan rentak cemerlang dalam Piala AFC apabila mencatatkan kemenangan bergaya 5-0 ke atas juara bertahan Liga 1 Indonesia, PSM Makassar pada Khamis.
Dua gol daripada Darren Lok dan satu masing-masing daripada Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Farhan Roslan menyaksikan skuad Sang Badak mengumpul tiga mata penuh daripada perlawanan terbabit.
Namun, kecemerlangan pemain sayap mereka, Saddil Ramdani sudah tentu menjadi bahan bualan apabila dia mencetak tiga bantuan jaringan.
Kemenangan berkenaan sekali gus meletakkan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee di tangga teratas Kumpulan H setelah mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.
Bagaimanapun, bagi PSM Makassar, mereka yang mengalami dua kekalahan berturut-turut kini berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata terkumpul.
Situasi berkenaan sudah tentu menyebabkan penyokong kelab Indonesia itu terus memberi tekanan terhadap mereka, lebih-lebih lagi setelah mengalami kekalahan memalukan di tangan Sabah FC.
Anak-anak buah Kim Swee beraksi dengan cukup baik di pentas Asia musim ini. — Facebook/Sabah FC
Tanpa berselindung, pengendali PSM Makassar, Bernando Tavares mengakui jurang kualiti antara kedua-dua pasukan menyebabkan anak-anak buahnya gagal memberi tentangan lebih baik.
“Mereka mencipta lebih banyak peluang dari kami, mereka beraksi dengan lebih baik, Sabah juga sudah menjaringkan gol pada percubaan pertama yang dimiliki dalam perlawanan.”
“Bagaimanapun, Sabah memiliki kualiti yang lebih baik. Mereka mampu menjaringkan gol dalam sepakan percuma sungguhpun kami sudah melakukan latihan khusus untuk mengekang perkara itu daripada terjadi,” jelasnya kepada MakanBola.
Dalam saingan Liga 1 Indonesia, PSM Makassar juga berdepan prestasi tidak menentu apabila mereka kini berada di tangga ke-14 selepas 14 perlawanan.
Kemerosotan itu dikatakan berpunca daripada isu kewangan yang dihadapi pasukan dengan laporan turut mengatakan staf kejurulatihan kelab tidak menerima bayaran gaji.
Selepas ini, Sabah FC bakal berdepan wakil dari Vietnam, Hai Phong FC pada 25 Oktober di Stadium Lach Tray, Vietnam sementara PSM Makassar dijadualkan bertemu Hougang United pada tarikh yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram