The Rhinos boleh ikat rapi mata penuh jika berjaya sekat 3 bintang PSM Makassar


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Walaupun sedang berprestasi buruk, cabaran PSM Makassar tidak boleh dipandang rendah Sabah FC. — Agensi

PERJUANGAN Sabah FC dalam Piala AFC diteruskan dengan mereka akan beraksi di Indonesia bertemu PSM Makassar.

Selepas berhasil mendapatkan kemenangan menentang Hougang United pada perlawanan pertama, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berhajat untuk memburu satu lagi tiga mata penuh demi mengukuhkan cengkaman mereka dalam kumpulan H Piala AFC.

Bagi Makassar pula, mereka tidak mahu berterusan kalah kerana sebelum ini kelab itu telah dimalukan oleh wakil Vietnam iaitu Haiphong.

Jadi, semestinya Makassar tidak mahu kalah di laman sendiri. Ditambah bertemu wakil daripada Malaysia, sudah pasti kalah itu bukan satu pilihan.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga pemain Makassar yang perlu diberikan perhatian oleh Sabah FC:

1. Kenzo Nambu

Merupakan pemain paling cemerlang untuk Makassar pada musim ini, Nambu merupakan pemain paling aktif buat mereka dari segi sumbangan gol.

Di saat Makassar mengalami musim sukar dalam saingan domestik, Nambu memberikan sedikit senyuman untuk pasukan mereka dengan muncul sebagai penjaring terbanyak kelab.

385050226_863844658434740_6399770852481954114_n

Kenzo Nambu merupakan pemain paling berbahaya PSM Makassar. — Facebook/PSM Makassar

Nambu sudah menjaringkan tujuh gol liga setakat ini dan itu satu rekod baik buat seorang pemain tengah yang beraksi dalam kesemua perlawanan Makassar dalam semua kejohanan musim ini.

Pemain dari Jepun ini jelas sekali adalah ancaman terbesar buat Sabah. Oleh itu, setiap gerak gerinya perlu dikawal sebaiknya apabila bertemu.

2. Yance Sayuri

Pemain pertahanan kiri berusia 26 tahun ini dilihat sebagai sumber tambahan serangan Makassar dan Sabah perlu mengawal rapi pergerakannya.

Yance dilihat sebagai pemain pertahanan kiri yang aktif membantu bahagian serangan. Malah, musim ini sahaja dia sudah mempunyai dua jaringan gol. Selain itu, Yance juga menghasilkan satu bantuan gol untuk Makassar.

Pemain ini dilihat sering terlibat dalam pembikinan gol untuk Makassar, jadi pertahanan Sabah tidak boleh terlalu menumpukan kepada penyerang mereka sahaja sebaliknya Yance juga perlu dikawal rapi.

yance-sayuri-sebut-motivasi-tim-pelatih-jadi-kunci-kemenangan-psm-makassar

Yance cukup berbahaya ketika menyerang walaupun seorang pemain pertahanan. — Agensi

3. Wiljan Pluim

Ketua pasukan Makassar ini merupakan pemain yang cukup berpengaruh buat pasukannya dan ia turut memberi kesan kepada prestasi mereka.

Pemain tengah menyerang ini juga merupakan sumber gol buat Makassar pada musim ini. Sebagai rekod, Pluim sudah melakukan satu gol dan dua bantuan jaringan.

wiljan-pluim_157ad3e

Pluim merupakan pemain import PSM Makassar dari Belanda. — Agensi

Kreativiti oleh Pluim serta pemain lain sepeti Nambu dari bahagian tengah pasti akan menjadi sesuatu yang perlu diambil serius oleh Kim Swee bagi memastikan kemenangan Sabah terjamin.

Apabila bahagian tengah Makassar berjaya dikuasai, maka Sabah berpeluang besar untuk menghasilkan kemenangan di Indonesia.

Jika dilihat secara pandangan kasar, Sabah dilihat tiada masalah untuk menewaskan Makassar berdasarkan set pemain yang ada serta prestasi semasa.

Akan tetapi, mereka tetap harus waspada ancaman yang ada. Jika tidak, Sang Badak berkemungkinan akan gigit jari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram