Angkara Hariss Harun, JDT pernah buat permintaan istimewa kat FAM


  • Podium
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Hariss Harun beraksi untuk beberapa musim buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) sememangnya tidak pernah lekang daripada bintang-bintang import sejak penubuhan mereka kira-kira 11 tahun lalu.

Pemain seperti Luciano Figueroa, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva merupakan antara mereka yang pernah menabur bakti bersama pasukan Selatan tanah air itu.

Bagaimanapun, di sebalik bintang bersinar berkenaan, skuad Harimau Selatan juga kerap menggunakan khidmat import yang cukup berkualiti dalam peranan masing-masing.

Antara yang semestinya sukar dilupakan ialah bekas kapten pasukan kebangsaan Singapura, Hariss Harun apabila dia amat diperlukan dalam benteng pertahanan JDT.

Sejak menyertai skuad Harimau Selatan pada 2014, sumbangan pemain tersebut boleh dianggap cukup penting dalam menyekat serangan pihak lawan.

WhatsApp Image 2023-10-06 at 12.14.16

Kecemerlangan Hariss turut ditagih skuad kebangsaan Singapura. Agensi

Meskipun jaguh Liga Super itu menyaksikan perubahan barisan kejurulatihan beberapa kali, kedudukan Hariss bersama JDT sepanjang keberadaannya.

Situasi itu bagaimanapun pernah memuncak pada Oktober 2014 apabila JDT terpaksa membuat permintaan rasmi terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan kehilangan pemain terbabit.

Permintaan tersebut dibuat berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk memanggilnya bagi aksi antarabangsa berdepan Hong Kong dan Macau.

Hal itu menyebabkan JDT bakal kehilangan khidmat Hariss untuk aksi Piala Malaysia berdepan Terengganu FA yang dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober 2014.

Jadi, untuk menyelesaikan hal berkenaan, pihak pengurusan kelab memilih untuk menghantar surat rasmi terhadap FAM dengan harapan tarikh perlawanan itu dapat diubah segera.

WhatsApp Image 2023-10-06 at 12.11.59

Hariss (kiri) beraksi ketika pertembungan Piala Malaysia 2014 menentang Terengganu FA.

Permintaan berkenaan akhirnya dipersetujui badan induk bola sepak negara berkenaan dengan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menegaskan keputusan itu dibuat selepas satu sesi perbincangan dilakukan.

Perubahan terbabit sememangnya membuahkan hasil apabila JDT mencatatkan kemaraan ke pentas akhir Piala Malaysia setelah menyingkirkan Terengganu FA dan Felda United.

Bagaimanapun, mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong di pentas akhir selepas tewas kepada Pahang FA menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, drama antara Hariss, JDT dan FAM itu sememangnya sukar dilupakan penyokong bola sepak tanah air apabila status pemain berkenaan sebagai tonggak Harimau Selatan dikekalkan beberapa tahun selepas itu.

Kini, jeneral tengah tersebut terus mempamerkan kecemerlangannya bersama kelab Singapura, Lion City Sailors meskipun usianya sudah mencecah 32 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram