KEDAH Darul Aman (KDA) pastinya mahu bangkit pada aksi suku akhir kedua MFL Challenge Cup bertemu Kuching City di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu.
Meskipun tewas 0-1 di Stadium Negeri, Sarawak pada suku akhir pertama, 19 September lalu, ia bukanlah penamat kepada sasaran mereka yang mahukan kemenangan pada setiap perlawanan.
Dalam pada itu, pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu perlu melakukan beberapa perubahan agar mampu menewaskan Kuching City di laman sendiri nanti.
Sekiranya KDA FC mahu meraih kemenangan, skuad Sang Kenari itu perlu mematuhi arahan yang diberikan oleh Nafuzi Zain selaku Ketua Jurulatih pasukan.
Ifedayo Olesegun muncul hero tewaskan The City Boys. — Facebook/Kedahfc
Berikut Majoriti menyenaraikan empat arahan wajib dipatuhi Sang Kenari jika mahu kecewakan Kuching City:
1. Tidak terjerat dengan perangkap Kuching City
Seperti yang diketahui, Ketua Jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak mempunyai taktik yang sukar diramal dan pastinya ingin membawa pasukannya mara ke peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, Nafuzi mengingatkan agar anak-anak buahnya tidak terjerat dengan perangkap yang akan dipasang oleh pengendali The Cats itu.
Meskipun ketinggalan satu gol dan perlu mencari jaringan ke atas Kuching City untuk perlawanan seterusnya, skuad kendaliannya perlu meneruskan semangat dan hanya mengekalkan momentum persembahan bagi mengelak dari sebarang tekanan.
2. Pemain tidak perlu terburu-buru
Meskipun Sang Kenari kini sedang fokus dalam pemburuan kedudukan naib juara Liga Super 2023, namun mereka juga mempunyai impian yang tinggi dalam saingan MFL Challenge Cup kali ini.
Susulan itu, anak-anak buah Nafuzi dinasihatkan agar tidak terburu-buru dan turun dengan perancangan teliti yang sudah ditetapkan pada perlawanan oleh jurulatih.
Barisan benteng pertahanan dan jentera serangan Sang Kenari memainkan peranan penting agar corak permainan sentiasa dalam keadaan yang teratur dan tidak terburu-buru untuk menjaringkan gol.
3. Peniup motivasi bagi meneruskan cabaran
KDA FC meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super pada Sabtu.
Kemenangan 1-0 itu pastinya menjadi peniup motivasi bagi meneruskan saingan ketika berdepan Kuching City nanti.
Susulan itu, tiga mata yang diraih sepatunya menjadi penyuntik semangat buat barisan Sang Kenari jika ingin bergelar juara dalam saingan MFL Challenge Cup.
4. Awasi Abu Kamara
Meskipun memiliki barisan pertahanan yang cukup kental, namun Nafuzi waspada dengan kelincahan penyerang Kuching City FC, Abu Kamara.
Keyakinan, kesungguhan dan ketajamannya dalam memperdayakan pihak lawan antara kelebihan yang dimiliki olehnya untuk membantu pasukan The Cats.
Nafuzi turut berharap agar benteng pertahanan Sang Kenari mampu mengekang penyerang kelahiran Liberia itu daripada meledak sebarang jaringan.
Hal ini kerana, Abu Kamara merupakan penyerang yang berbahaya dan memiliki kemampuan untuk menjaringkan gol termasuk melalui teknik tandukan yang bagus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram