LAPAN tahun lalu, apabila pasukan Johor Darul Takzim dan Perak FC dijadualkan bertembung dalam perlawanan Liga Malaysia, tentunya ia seolah-olah menunjukkan tanda-tanda kekecohan pasti berlaku.
Bekas Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Bojan Hodak dilaporkan berkata, akui masih ingat dengan jelas adegan huru-hara yang berlaku apabila penyokong Perak tidak dikawal ketat merejam bas pasukan Harimau Selatan selepas perlawanan Liga Super mereka di Stadium Ipoh, Perak pada 15 April 2014.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan tuan rumah tewas di tangan Harimau Selatan dengan keputusan 0-1 ketika itu.
Bukan itu sahaja, malah bas pasukan JDT pernah disembur dengan perkataan 'This is Ipoh' selepas perlawanan liga itu berakhir.
Ketika itu, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata untuk meleraikan penyokong selepas perlawanan.
Insiden yang berlaku pada 15 April 2014 menandakan permulaan saingan sengit antara kedua-dua pasukan, selain melibatkan dendam segelintir penyokong.
Pasukan Keselamatan membuat kawalan keselamatan bagi mengelakkan tercetusnya pergaduhan di kalangan penonton semasa perlawanan Perak bertemu JDT. — Agensi
Kejadian di Ipoh sebenarnya rentetan insiden buruk antara kedua-dua pasukan di Stadium Larkin, Johor pada 18 Januari 2014, apabila cermin depan kereta bekas pengurus pasukan Perak, Datuk Azhar Ahmad dipecahkan dan bas skuad Perak disekat oleh peminat JDT selepas pasukan tuan rumah memenangi perlawanan Liga Super 2014 dengan keputusan 2-0 ketika itu.
Hodak yang juga pengendali kelahiran Croatia itu dilaporkan berkata, dia sedih melihat kancah bola sepak Malaysia terperangkap dalam hooliganisme.
Hodak juga dilaporkan berkata, pasukan JDT terpaksa menaiki trak FRU kerana para pemain menjadi sasaran peminat yang tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.
Di samping itu, pada 24 April 2015, penyokong JDT membaling objek ke atas padang dan merosakkan papan "A" di Stadium Ipoh, Perak berikutan kemenangan 2-1 Perak dalam pertembungan Liga Super.
Pada 19 Ogos 2015 pula, seramai 14 penyokong JDT ditahan polis kerana kekacauan dan melemparkan kata-kata kesat selepas pasukan mereka menewaskan Perak FC dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan Liga Super musim 2015.
Dua anggota polis mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa menerima jahitan untuk kecederaan mereka manakala seorang lagi cedera lengan kanannya semasa pergaduhan itu.
Hodak dilaporkan berkata, Persatuan Bola Sepak negeri (FA) harus memainkan peranan yang lebih besar dalam mendidik penyokong mereka untuk membendung hooliganisme bola sepak.
Tambahnya ketika itu, membahayakan nyawa yang tidak bersalah untuk bola sepak tidak masuk akal, bola sepak harus membawa orang ramai bersama, bukan sebaliknya.
Hodak turut dilaporkan berkata, negara Eropah berjaya membendung hooliganisme bola sepak yang jauh lebih teruk. Jadi mengapa FA negeri tidak mula mendekati peminat mereka dan mendidik mereka?. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram