KETUA Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu kembalikan semangat penyokong untuk terus berada di belakang pasukan selepas layak ke separuh akhir Challenge Cup 2023 pada ketika mereka kini di tangga tercorot Liga Super.
Berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 4-0 untuk layak ke separuh akhir sudah cukup menggembirakan barisan pemain untuk mereka merasai kembali detik kemenangan selepas bergelut di pentas liga.
Bagi Aidil, anak buahnya telah menunjukkan satu kesungguhan luar biasa untuk meraih tiga jaringan di tempat lawan meskipun di atas kertas skuad kendalian Nafuzi Zain dilihat menjadi pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak. — MFL
Apa yang pasti, tidak kira piala apa sekalipun, bekas jurulatih Kedah itu tetap berbangga dengan prestasi yang telah ditampilkan pemain dan berharap kemenangan ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada penyokong untuk terus berada di belakang pasukan.
“Syukur Alhamdulillah dengan kemenangan ini terutamanya apabila saya sendiri ada kenangan manis selama empat tahun di sini (Kedah), perasaan itu sungguh berbeza dengan kemenangan yang diperoleh ini.
“Kita tahu Kedah adalah pasukan yang kuat dan kita juga berjaya untuk mengenali kelemahan mereka jadi, apabila kita dah menang 1-0 pada perlawanan pertama, saya tahu pemain mampu untuk buat lebih jaringan lagi dan kita berjaya.
“Kita memang nakkan kemenangan ini dengan kedudukan pasukan sekarang di tangga tercorot liga, jadi kita tidak rugi apa pun dan trofi ini tetap bermakna untuk dikejar.
“Saya harap saya mampu untuk bawa kembali kemeriahan bola sepak dalam pasukan ini untuk para penyokong dan mahu mereka kembali menikmati setiap saat apabila menyokong Kuching City," jelasnya.
Dalam pada itu, pengendali Kedah, Nafuzi Zain mengakui pasukan lawan lebih layak untuk memenangi perlawanan tersebut jika dilihat prestasi mereka di atas padang.
Nafuzi menyifatkan anak buahnya bermula agak perlahan dan banyak membuat kesilapan sekali gus membuka ruang kepada Kuching City untuk melakukan jaringan.
Bagaimnapun, Nafuzi enggan menoleh ke belakang sebaliknya mahu barisan pemain kembali fokus kepada baki perlawanan Liga Super untuk cuba merampas kedudukan kedua.
“Selepas dua perlawanan ini, saya rasa Kuching memang layak untuk menang dan persembahan yang ditampilkan mereka memang berbeza berbanding dengan pasukan saya.
“Motivasi mereka lebih tinggi dan apabila kita tewas 0-1 pada perlawanan pertama, saya ingatkan kita ada peluang cerah bermain di laman sendiri, tetapi kita banyak buat kesilapan dan beri kelebihan kepada lawan.
“Memang untuk kejohanan seperti ini (Piala FA, Piala Malaysia, Challenge Cup), kita agak kurang bernasib baik, tapi kita masih ada harapan untuk cuba kejar tempat kedua liga, jadi saya harap ini akan terus beri motivasi kepada pemain," katanya.
Dalam aksi timbal balik Challenge Cup tersebut, satu lagi pasukan yang mara ke separuh akhir adalah Kelantan United FC apabila menang dengan agregat 11-0 ke atas Kelantan FC. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram