JDT tak takut sesiapa, Bergson optimis jinakkan BG Pathum United


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Penyerang berbisa Harimau Selatan, Bergson da Silva. — Facebook/ JohorSouthernTigers

PENYERANG berbisa, Bergson da Silva mendedahkan bahawa Johor Darul Takzim (JDT) tidak takut kepada mana-mana pasukan dan berhasrat untuk kembali dengan tiga mata menentang BG Pathum United dalam perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa.

Meskipun BG Pathum United merupakan salah satu daripada lima pasukan teratas dalam Liga 1 Thailand, namun penyerang kelahiran Brazil itu percaya JDT tidak akan dipengaruhi dengan statistik tersebut dan bertekad untuk bangkit daripada kekalahan tipis 0-1 ketika berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ismail (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 19 September lalu.

Dalam kancah bola sepak domestik, Harimau Selatan menjadi satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah dalam semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) sejak musim 2022.

JDT yang memenangi Piala FA dan Liga Super musim ini menjadi pilihan untuk meraih treble kerana mereka masih berjuang dalam saingan Piala Malaysia yang sudah ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, Bergson berasakan tanggungjawab ada pada JDT untuk menunjukkan kemampuan mereka dan beraksi di luar Malaysia.

“JDT telah membuktikan mereka berada pada tahap berbeza dan sudah tentu kami mahukan tiga mata menentang BG Pathum United. Mereka bermain dalam liga yang lebih baik tetapi kami JDT dan tidak takut sesiapa.

“Kami boleh memberi tekanan kepada mereka seperti yang kami lakukan pada Liga Juara-Juara AFC 2022 yang mana kami berjaya menewaskan Ulsan Hyundai dan kami menekan Kawasaki dalam perlawanan pertama kami walaupun kami tewas (0-1).

“Tidak kira siapa yang menjaringkan gol, kami akan bermati-matian dan menyasarkan kemenangan menentang BG Pathum United," kata Bergson, yang telah menjaringkan 102 gol untuk JDT dalam semua pertandingan dalam tiga musim lalu.

JDT beraksi cemerlang dalam Liga Juara-Juara AFC musim lalu dengan mengungguli Kumpulan I yang merangkumi Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC.

Mereka berjaya menewaskan Ulsan 2-1 dalam kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan manakala kemenangan berganda ke atas Guangzhou (5-0 di tempat sendiri dan 2-0 di tempat lawan) dan keputusan seri 0-0 di Iskandar Puteri membawa mereka ke peringkat 16 terakhir.

Meskipun tewas 0-5 di tangan Kawasaki tetapi ia tidak menjejaskan kemaraan mereka kerana mereka mengungguli kumpulan untuk mara.

Bagaimanapun, JDT menghadapi perlawanan sukar apabila menentang wakil kelab dari Jepun, Urawa Red Diamonds yang tewas 5-0 pada peringkat 16 terakhir.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari menyeru anak-anak buahnya untuk memberi impak dalam Liga Juara-Juara AFC yang dijangka lebih sukar.

Tambahnya lagi, menampilkan aksi positif ketika menentang BG Pathum United boleh memulakan dorongan mereka untuk menunjukkan persembahan yang lebih berkualiti di peringkat benua. — The Star/K.M BOOPATHY

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram