Piala AFC: Bangkit ikat Bali United, fans Terengganu kecewa lihat aksi bintang Thailand


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Antara aksi perlawanan di antara Bali United dan Terengganu FC pada Rabu. — Facebook/Bali United

TERENGGANU FC (TFC) berjaya bangkit mengikat Bali United dengan keputusan 1-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada Rabu.

Keputusan itu menyaksikan skuad Peteh berkongsi satu mata dengan kelab tersebut selepas terikat seri dalam aksi kedua Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ketiadaan penyerang berbisa TFC, Ivan Mamut ternyata sedikit sebanyak memberikan kesan besar apabila Sang Penyu gagal untuk mencari jaringan gol ketika berdepan cabaran Bali United.

Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner dilihat lebih mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama namun Adisak Kraison gagal memanfaatkan segala peluang yang hadir buat Sang Penyu.

Bali United pula hadir dengan ancaman daripada bekas penyerang Melaka United, Ilija Spasojevic yang berbahaya semasa bola di udara.

Suhaimi Husin

Suhaimi menjadi wira buat TFC menghalang pelbagai asakan Bali United.

Bersambung babak kedua, Bali United terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol menerusi tandukan Privat Mbarga pada minit ke-54 permainan.

Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Tomislav cuba bangkit dengan beberapa pertukaran yang dilakukan pengendali kelahiran Croatia itu.

Selepas lama menunggu, akhirnya pertukaran pemain yang dibuat oleh Tomislav itu berhasil apabila pemain muda TFC, Syahmi Zamri menjaringkan gol penyamaan menerusi tampanan mudah pada minit ke-84 perlawanan.

Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Mamut

Ketiadaan Ivan Mamut memberi kesan besar buat Sang Badak.

Walaupun berjaya bangkit daripada ketinggalan, rata-rata penyokong Terengganu amat merindui kehadiran kelibat Mamut yang tiada dalam skuad Sang Penyu kali ini.

Malah penyokong TFC juga tidak berpuas hati dengan prestasi Adisak yang dilihat gagal membantu jentera serangan Sang Penyu.

"Tak ada Ivan Mamut, malas nak tengok 'game' malam ini (Rabu)," kata Halim Arshad.

"Hancur permainan, Adisak tak berfungsi langsung, hantaran sangkut, Sony bawa bola pun tak lepas, main apa macam ini," luah Wan Norman.

"Terengganu main macam tak ada taktikal dan banyak gerakan solo," ujar Dzulkifli Yahya.

Bali United kini mendahului Kumpulan G, berkongsi empat mata dengan TFC yang menghuni tangga kedua hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan, manakala Central Coast Mariners di kedudukan ketiga mengumpul tiga mata sementara Stallion Laguna di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram