[VIDEO] Sekali lagi curi perhatian 'scouting', ejen FIFA minat terbangkan Arif Aiman ke Eropah


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Arif Aiman kini semakin mendapat perhatian 'scouting' luar negara untuk beraksi di Eropah.

JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United dengan keputusan 4-2 dalam aksi Kumpulan I saingan Asia Champions League (ACL) di Stadium Pathum Thani, Bangkok pada Selasa.

Skuad kendalian Esteban Solari itu menampilkan permainan berkualiti untuk memadam luka tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama baru-baru ini.

Arif Aiman Hanapi menjadi pemain yang paling berbisa di atas padang selepas menjaringkan dua gol sekali gus berjaya membuka akaun jaringan dalam kejohanan tertinggi Asia itu.

Selain Arif Aiman, Juan Muniz dan Bergson da Silva, masing-masing turut menjaringkan satu gol untuk memastikan tiga mata dimiliki oleh Harimau Selatan.

Arif Aiman

Arif Aiman menjaringkan dua gol ketika berdepan BG Pathum United pada Selasa. Facebook/JDT

Aksi yang dipamerkan Arif Aiman ketika berdepan Kawasaki Frontale dan BG Pathum United ternyata menarik minat ejen pemain bola sepak yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), R.D. Football Scout di laman sosial X.

Menerusi laman X, R.D. Football Scout telah memuat naik video Arif Aiman mengelecek dua pemain Kawasaki Frontale sehingga ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan.

"Sahabat saya ini di Malaysia, betapa bagusnya Arif Aiman sebenarnya?

"Adakah anda rasa dia (Arif) bersedia untuk bermain di Eropah" soalnya.

Hasil pemeriksaan Majoriti, R.D. Football Scout ialah salah seorang ejen dan konsultan yang diiktiraf FIFA yang mana sering memuat naik video pemain-pemain muda berbakat di seluruh dunia.

Arif Aiman pernah disamakan dengan salah seorang bintang muda Real Madrid, Rodrygo Silva de Goes.

Ia menerusi satu ciapan twitter dari EK Scouting yang mana memberikan markah 8.3/10 oleh pemantau bakat tersebut.

Antaranya kemampuan yang dikesan oleh EK Scouting ialah Arif Aiman mampu menggelecek dengan baik walaupun dalam ruang yang sempit.

Pemain berusia 21 tahun itu gemar terlibat dalam banyak gerakan serangan skuad kendalian Esteban Solari.

EK Scouting turut menyenaraikan lapan kekuatan ada pada Arif Aiman iaitu kekuatan, ketenangan memegang bola, teknik, hantaran berbahaya, visi, pantas semasa mengawal bola, skil individu dan kaki lemah (kiri) yang kuat.

Arif Aiman dipercayai sememangnya sudah berada dalam radar sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat yang berpangkalan di Sepanyol selain dikaitkan dengan kelab Liga Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram