[VIDEO] 'Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi', freekick padu murid Pasti rupanya anak legenda Terengganu


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar video pelajar Pasti itu melepaskan rembatan yang menghasilkan jaringan gol cukup menarik.

TULAR di media sosial seorang kanak-kanak dipercayai pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menjaringkan gol luar biasa menerusi sepakan percuma yang terus menerjah gawang gol pasukan lawan.

Menerusi perkongsian video @Si_Kakibangku dalam Instagram, pelajar tersebut dengan tenang melakukan sepakan percuma yang mana mendapat sorakan seluruh penyokong yang hadir untuk menyaksikan kejohanan itu.

Jaringan jarak jauhnya itu membuatkan rakan sepasukan yang lain bergegas berlari ke arahnya untuk meraikan gol tersebut bersamanya.

Namun, siapakah bintang cilik yang berjaya melakukan jaringan seperti itu?

Menurut kapsyen video daripada @Si_Kakibangku pelajar cilik itu dipercayai anak kepada salah seorang legenda bola sepak Terengganu iaitu Ashari Shamsudin yang diberi gelaran 'the silent killer' oleh penyokong bola sepak tanah air.

Ashari Samsudin menghabiskan kariernya dengan hanya mewakili dua pasukan iaitu Terengganu FC dan Sri Pahang FC.

Memulakan kariernya bersama Terengganu pada 2005 hingga 2016 dengan lebih 200 penampilan, dia kemudiannya berhijrah ke Pahang selama semusim pada 2017 sebelum kembali ke Terengganu pada tahun berikutnya.

Untuk rekod, bekas pemain kebangsaan itu juga merupakan pemenang kasut emas Liga Super 2010 dengan 18 jaringan, enam gol mengatasi penyerang Safee Sali yang berada di tempat kedua dengan 12 gol edisi itu.

Penampilannya bersama skuad negara pula menyaksikan Ashari memiliki 15 penampilan dengan tiga gol berjaya dihasilkan, namun segalanya terhenti apabila pemain itu mengambil keputusan untuk bersara daripada persada bola sepak profesional pada usia 34 tahun.

Ashari yang ketika itu mewakili skuad Penyu menolak tawaran kontrak daripada pengurusan kejurulatihan dan nekad dengan keputusannya mahu bersara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram