NAMA Manuel Hidalgo kini menjadi bualan penyokong bola sepak Indonesia selepas dia dikaitkan dengan beberapa buah pasukan di negara itu.
Pemain berusia 24 tahun itu antara tonggak utama Nafuzi Zain sejak dia mengambil alih skuad Sang Kenari awal musim ini.
Walaupun tidak mencatatkan rekod jaringan yang tinggi, Hidalgo telah melakukan 10 bantuan jaringan dalam 21 perlawanan terakhir Liga Super bersama Kedah musim ini.
Menurut laporan media Indonesia, Hidalgo kini sedang menjadi perhatian dua buah kelab yang beraksi dalam BRI Liga 1 iaitu PS Barito Putera dan terbaru PSIS Semarang.
Dengan masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh pihak pengurusan Sang Kenari, Nafuzi mungkin boleh kehilangan arkitek serangannya ke pasukan negara jiran.
Ia sekali gus memadam hasrat penyokong di negara ini untuk melihat Hidalgo beraksi lebih lama sekali gus dinaturalisasikan beraksi bersama Harimau Malaya.
Hidalgo kini dikaitkan bakal ke kelab Indonesia.
Sebelum ini, Selangor FC pernah mengadakan perlawanan persahabatan menentang PSIS Semarang semasa Liga Super berehat selama dua minggu untuk memberi laluan kepada Harimau Malaya beraksi di China pada September lalu.
Dalam perlawanan itu, PSIS Semarang itu berjaya bangkit daripada ketinggalan dan mengikat Selangor dengan keputusan 3-3 di Stadium Jatidiri, Semarang, Indonesia pada 10 September lalu.
Musim ini PSIS Semarang sudah mempunyai enam pemain import iaitu Carlos Fortes (Portugal), Paulo Gali (Timor Leste), Taisei Marukawa (Jepun), Boubakary Diarra (Perancis) dan Lucao (Brazil).
Jika benar pemain bintang Kedah itu akan berhijrah ke Indonesia, dia akan menjadi import yang ketujuh buat PSIS Semarang yang dikendalikan oleh Gilbert Agius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram