WAKIL Ultras Tranung melakukan satu perjumpaan secara aman dengan penyokong Bali United untuk menerangkan khabar angin tentang pergaduhan di antara dua pemain ke-12 pasukan masing-masing.
Menerusi perkongsian @PiangShankly dalam laman X ada dalam kalangan peminat tuan rumah (Bali United) telah menyebabkan hubungan kedua-dua ultras dingin selepas tersebarnya khabar angin bahawa Ultras Terengganu mahu bergaduh dengan penyokong Bali United.
"Susulan pergaduhan penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Bali United tahun lepas, ada yang menyebarkan fitnah dalam kalangan penyokong Bali United.
"Kononnya semalam (Selasa) penyokong Terengganu ajak 'open fight' 14 lawan 14 dan hari ini (Rabu) lima lawan lima.
"Wakil Ultras Terengganu pagi tadi (Rabu) berjumpa dengan wakil penyokong Bali untuk menerangkan hal sebenar," ciapnya.
Hasil pemeriksaan Majoriti tidak menemukan laporan pergaduhan antara penyokong Kedah dan Bali United pada musim lepas yang menyaksikan Sang Kenari tewas 0-2 kepada wakil kelab Indonesia itu dalam pertembungan Kumpulan G Piala AFC.
Wakil Ultras Tranung berjumpa penyokong Bali United. — X/PiangShankly
Sementara itu, wakil dari penyokong Bali United juga mengesahkan bahawa khabar angin yang bermain dalam kalangan peminat mereka itu tidak benar dan optimis tidak akan timbul sebarang provokasi dari pihak tuan rumah.
"Pertemuan mesra bersama 'otai' asal Persatuan Sepak Bola Samarinda (Persisam) sebelum diambil alih dan dijenamakan sebagai Bali United atau diberi gelaran Serdadu Tridatu.
"Pengesahan khabar angin dengan penyokong Terengganu tentang pergaduhan 14 lawan 14 dan lima lawan lima adalah tidak benar.
"Persetujuan damai di antara Bali dan Terengganu untuk semua penyokong bola sepak Malaysia serta Indonesia.
"Kami akan pastikan penyokong Bali United juga akan aman di Terengganu nanti," jelasnya.
Tangkap layar Whatsapp bersama komrad Ultras Tranung. — X/PiangShankly
Tambah @PiangShankly, pihak pengurusan Terengganu FC didakwa tidak mengambil berat tentang penyokong mereka dan tiada bantuan pergerakan Ultras Tranung ke Bali, Indonesia.
"Hati-hati, sentiasa jaga keselamatan dan 'stay humble' kepada semua Komrad Ultras Tranung yang sudah berada di Bali sejak semalam (Selasa).
"Apa yang mendukacitakan, dari apa yang diberitahu oleh komrad, tiada langsung wakil dari Terengganu FC bertanya, jauh sekali membantu pergerakan komrad-komrad ini ke Bali," luahnya.
Terengganu akan berdepan dengan Bali United selepas kedua-dua pasukan berada dalam momentum terbaik apabila mencatatkan kemenangan pada aksi pertama Kumpulan G di Stadium Kapten Wayan Dipta, Indonesia, Rabu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram