[VIDEO] Kecewa tewas kepada JDT, casual BG Pathum buat kecoh, cederakan fans Harimau Selatan


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Tangkap layar daripada video pendek ketika pergelutan antara penyokong JDT dan BG Pathum United di luar stadium.

JOHOR Darul Takzim (JDT) mengumpul tiga mata pertama dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) apabila menundukkan pasukan Thailand, BG Pathum 4-2 pada Isnin.

Meskipun ketinggalan pada minit kelima, skuad kendalian Esteban Solari segera bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi.

Pada minit ke-14, penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva meletakkan juara Liga Super itu di hadapan sebelum Juan Muniz menggandakan kelebihan mereka.

BG Pathum kemudiannya cuba merapatkan jurang menerusi gol Victor Cardozo, namun kebijaksanaan Arif Aiman memastikan kemenangan berpihak kepada JDT.

Tiga mata berharga tersebut sudah tentu memberi suntikan semangat buat skuad Harimau Selatan selepas mereka mengalami kekalahan pada aksi pembukaan di tangan Kawasaki Frontale.

Namun, keputusan membanggakan itu dicemari dengan satu insiden pergaduhan selepas tamat perlawanan antara penyokong JDT dan BG Pathum United di luar Stadium BG, Thailand.

Berdasarkan rakaman yang kini tular di media sosial, kelihatan terdapatnya pergaduhan antara kumpulan penyokong tercetus dengan beberapa objek turut kelihatan dibaling.

Malah, terdapat juga insiden yang mana penyokong salah satu pasukan menggunakan suar dengan niat mencederakan lawan ketika perbalahan berkenaan.

Bagaimanapun, video yang berdurasi kurang daripada seminit tersebut turut kedengaran sebahagian pihak cuba memanggil penyokong daripada kalangan ultras JDT, Boys of Straits (BOS) untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Menurut komen di media sosial, ada yang berpendapat kekacauan itu berpunca daripada golongan casual BG Pathum United apabila kehadiran mereka hanya berniat untuk mengganggu suasana perlawanan.

Tetapi, setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai insiden berkenaan dengan nilai kerosakan masih belum dikenal pasti.

Malah tidak dapat dipastikan sama ada terdapat penyokong yang cedera dalam kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram