SEPERTI yang kita semua tahu, saingan Liga Super adalah acara tertinggi dalam piramid bola sepak negara.
Saingan terulung negara ini menghimpunkan kesemua pasukan terbaik di Malaysia dan ia dianggap sebagai salah sebuah liga terbaik di Asia Tenggara.
Ini dibuktikan menerusi pendedahan laman Transfermarkt yang meletakkan Liga Super sebagai liga bola sepak ketiga paling bernilai di Asia Tenggara.
Liga Super dinilaikan pada jumlah €55.24 juta (RM273 juta) menjadikan ia saingan paling progresif di Asia Tenggara selepas meningkat sebanyak €17.8 juta (RM88 juta) berbanding pada musim 2022.
Melihat kepada perkembangan tersebut, penganalisis sukan negara, Datuk Pekan Ramli mempunyai pendapat berbeza berkenaan nilai Liga Super ketika ini.
Menurut Pekan, apa yang didedahkan Transfermarkt itu tidaklah menggambarkan situasi sebenar mengenai nilai sesebuah liga.
"Ia mungkin suatu perkiraan nilai bersandarkan kepada nilai keseluruhan peruntukan atau belanjawan daripada 14 buah kelab yang menyertai Liga Super musim ini termasuklah dari aspek bayaran gaji kepada pemain keseluruhan termasuk pemain import.
"Ia suatu gambaran surface sahaja bagi saya tetapi bukan gambaran realiti sebenar dari nilai francais sebenar kelab-kelab terbabit termasuk dari aspek penajaan dan endorsement, pemilikan aset, merchandise, hak penyiaran, liabiliti, rakan kongsi dan lain-lain," katanya kepada Majoriti.
Tambah Pekan lagi, nilai sesebuah liga itu terletak kepada usaha penganjur pertandingan untuk meningkatkannya. Dalam hal ini, Malaysian Football League (MFL) perlu memainkan peranan.
Dalam masa yang sama, Pekan juga menjelaskan nilai sesebuah kelab itu diukur dengan cara berbeza. Nilai itu boleh ditingkatkan menerusi cara sesebuah kelab meningatkan pendapatan mereka serta mengukuhkan jenama pasukan.
"MFL perlu memperkukuhkan penstrukturan liga terutama dari aspek komersil, seperti hak penyiaran, levi kutipan jualan tiket, insentif-insentif serta nilai hadiah kejuaraan lebih besar supaya dapat berkongsi keuntungan dengan kelab-kelab yang bersaing dalam liga utama.
"Saya berpandangan nilai sebenar sesebuah kelab itu perlu dilihat daripada keupayaan sesebuah kelab itu dari aspek penjanaan pendapatan daripada penajaan, merchandising, hak penyiaran eksklusif kelab masing-masing, hasil jualan tiket, aset (harta benda, stadium dan pemain), sosial media dan sebagainya. Nilai-nilai branding mesti diambil kira sebagai nilai sebenar sesebuah kelab itu," jelas Pekan.
Perak FC dan Negeri Sembilan FC antara pasukan yang bertanding dalam Liga Super. — Facebook/Perak FC
Malangnya, apa yang dikatakan oleh Pekan itu bukanlah realiti dalam bola sepak kita. Dia melihat majoriti pasukan lebih tertumpu kepada kelangsungan kelab saban musim.
Pekan berasakan hanya Johor Darul Takzim (JDT) yang menumpukan usaha meningkatkan nilai kelab setiap musim.
"Saya tidak nampak usaha secara menyeluruh dibuat oleh kelab-kelab untuk meningkatkan nilai kelab masing-masing kecuali JDT. Kelab-kelab lain tidak bergerak ke arah mengembangkan jenama mereka mungkin (kerana) banyak kekangan dari aspek kewangan.
"Selain JDT, kelab lain seperti fokus kepada survival mereka pada tahun semasa sedangkan JDT lebih melihat jauh ke hadapan bukan hanya meraih kejayaan dalam liga tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Kelantan FC antara pasukan yang mengalami masalah musim ini. — Facebook/Kelantan FC
"Kelab lain masih lagi diurus tadbir secara tahun semasa mengikut kemampuan yang terhad dan masih banyak kelab yang tidak lancar pengurusannya dan dibelenggu dengan pelbagai masalah hutang, tiada aset, menanggung pelbagai liabiliti dan sebagainya." ujar Pekan.
Sebagai rekod, Liga Super duduk di belakang Liga 1 Indonesia dan Thai League 1 dalam carta liga paling bernilai di Asia Tenggara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram