JOHOR Darul Takzim (JDT) bangkit dari kekalahan sebelum ini di tangan Kawasaki Frontale dengan menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United 4-2 di Stadium Phatum Thani, Bangkok, Thailand dalam aksi kedua Kumpulan I saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) 2023 pada Selasa.
Separuh masa perlawanan bermula dengan pembabitan pengadil perlawanan apabila berlaku insiden tarik baju melibatkan bek tengah, Shane Lowry kepada pemain BG Pathum sehingga Mohamad Abdulla Hassan menghadiahkan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Pemain pertahanan skuad The Rabbits, Victor Cardozo berhasil menyudahkan sepakan penalti dengan sempurna dan meletakkan BG Pathum 1-0 di hadapan JDT pada minit kelima.
Selang beberapa saat selepas penalti tersebut, penyerang sayap lincah kebangsaan, Arif Aiman Hanapi membuka akaun jaringan untuk saingan tertinggi Asia itu dan menyamakan kedudukan.
Penyerang prolifik Harimau Selatan, Bergson Da Silva mencetak jaringan kedua dengan melepasi celah kaki penjaga gol BG Pathum, Chatchai Bootprom menerusi hantaran dari rakan senegaranya, Heberty melepasi celah kaki penjaga gol.
Kesebelasan utama JDT menentang BG Pathum.
Bersambung babak kedua, kombinasi antara Heberty, Bergson dan Juan Muniz berhasil mencetak jaringan ketiga untuk JDT menerusi sentuhan akhir dari pemain tengah dari Sepanyol itu pada minit ke-53.
Seminit selepas itu, Ahmad Syihan Hazmi ditewaskan sekali lagi oleh Victor dan sekali gus menjaringkan gol kedua untuk wakil dari Thailand itu.
Permata skuad Harimau Selatan dan Harimau Malaya, Arif Aiman menambah akaun jaringannya menerusi hantaran dari bek kanan, Matthew Davies dan meletakkan JDT di hadapan dengan keputusan 4-2 pada minit ke-78.
Dua jaringan dari Arif Aiman membuatkan penyokong Harimau Selatan tersenyum dan gembira kerana akhirnya pemain muda itu berhasil mencetak jaringan di saingan ACL.
Malah, ada juga penyokong Harimau Selatan yang berpendapat bahawa dengan prestasi cemerlang itu, tanda harga pemain berusia 21 tahun itu akan semakin tinggi.
“Makin naik harga kau Arif Aiman,” kata penyokong JDT, Hafiz Hafiz.
“Arif Aiman selalu jadi hero JDT,” jelas penyokong Harimau Selatan,” Faa Ahmad.
Namun begitu, keadaan ketua pasukan, Jordi Amat juga menambah kerisauan penyokong JDT berikutan dia terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama.
Pemain Indonesia itu sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kecergasan sehingga dia terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam aksi timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram