'Kami mahu bermain di pentas Asia', Sharul Nazeem optimis Selangor kekal naib juara Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Musim ini, Sharul sudah melakukan 18 penampilan bersama Selangor FC dalam perlawanan Liga Super. — Facebook/Selangor FC

TONGGAK pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulpakar percaya Selangor FC di landasan tepat untuk menamatkan saingan Liga Super 2023 di kedudukan kedua terbaik.

'Afro' bagaimanapun, menganggap ia bukanlah satu tugas mudah memandangkan pencabar terdekat Gergasi Merah, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga pastinya memburu tempat ke pentas Asia musim depan, lapor Stadium Astro.

Pemain berusia 23 tahun itu turut belum berpuas hati dengan prestasinya musim ini dan sentiasa bertekad memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan.

"Kedah mengekori rapat jadi kami tidak boleh mengambil mudah.

"Kalau ada rezeki, kami mampu mencapainya.

Selangor FC

Sharul merupakan tonggak utama pertahanan Selangor FC musim ini. Facebook/Selangor FC

"Saya masih tidak berpuas hati dengan tahap persembahan sendiri. Kadang-kadang saya membuat kesilapan mudah jadi saya akan terus belajar.

"Kami harap dapat bermain di pentas Asia untuk mencari pengalaman yang lebih berharga," katanya.

Selepas 23 perlawanan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini berada di kedudukan kedua dengan kutipan 52 mata hasil 17 kemenangan, satu seri serta lima kali tewas.

Berbaki tiga perlawanan, Selangor dijadualkan berdepan Perak dan PDRM di laman sendiri sementara bakal berkunjung ke Alor Setar bertemu skuad Hijau Kuning, Disember depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram