‘Welcome to zaman profesional’, TMJ optimis JDT lebih kuat musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

TMJ menjadi tulang belakang kejayaan Harimau Selatan hari ini. — Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama dalam Malaysia yang menjuarai Liga Super buat 10 kali berturut-turut.

Biarpun Liga Super masih berbaki empat perlawanan, Harimau Selatan sudah bermain 'bunga api' lebih awal selepas mudah menundukkan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.

Skuad kendalian Esteban Solari yang memenangi empat trofi musim lalu kini sudah memiliki dua kejuaraan tahun ini selepas mempertahankan gelaran Piala FA

JDT juga masih di landasan terbaik untuk memenangi Piala Malaysia dengan melayakkan diri ke separuh akhir, selain sedang bersaing dalam Asia Champions League (ACL).

Kejayaan JDT itu bukan hadir sekelip mata tanpa perancangan rapi dan pihak pengurusan yang mahir dalam selok belok dunia bola sepak.

Selain daripada pihak pengurusan, kredit seharusnya diberikan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tulang belakang kejayaan Harimau Selatan hari ini.

Dengan pasukan lain sibuk mengimbau kejayaan masa lampau, JDT terus mengorak langkah ke hadapan dan mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan.

WhatsApp Image 2023-09-29 at 12.20.27 PM

Tangkap layar Instastory TMJ.

TMJ dalam Instagram turut berkongsi tangkap layar perbezaan jumlah trofi Liga Super yang dimenangi JDT berbanding pasukan lain yang gah pada zaman dulu.

"Statistik tidak menipu, selamat datang ke era profesional," katanya.

Selain itu, TMJ turut berkongsi empat rekod baharu yang dicatatkan oleh JDT dalam arena bola sepak negara ini antaranya pasukan yang paling lama tidak tewas musim ini.

"Saya rasa tahun depan, kami (JDT) akan lebih kuat berbanding tahun ini," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari meluahkan perasaan gembira dan bangga kerana pasukan kendaliannya berjaya mencapai objektif mereka tahun ini,

"Pertama sekali, kami berasa gembira kerana berjaya mencapai objektif utama tahun ini dengan meraih kemenangan dalam Liga Super.

"Kami berjaya memberi saingan dan menewaskan pasukan yang kuat dalam Liga Malaysia dengan persembahan yang baik kami tampilkan setiap perlawanan," jelasnya.

Pengendali kelahiran Argentina itu turut memberi penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan pihak pengurusan JDT yang sudah bekerja keras untuk pasukan Harimau Selatan.

"Terima kasih kepada TMJ kerana menyediakan fasiliti yang baik untuk pasukan JDT, terima kasih juga kepada barisan kejurulatihan dan staf yang merupakan tulang belakang pasukan ini kerana sudah bekerja keras.

"Terima kasih juga kepada para pemain, mereka sangat bekerja keras dan menunjukkan persembahan yang baik sepanjang perlawanan berlangsung," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram