KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) baru sahaja mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas menewaskan PDRM FC 4-0 dalam aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor Bahru pada Rabu.
Musim ini, Harimau Selatan merangkul kejuaraan Liga Super dengan menyaksikan skuad Harimau Selatan itu dengan tidak tewas sepanjang musim ini dengan berada di tangga teratas dengan 64 mata selepas 21 kemenangan dan satu seri dan ia merupakan tahun kedua berturut-turut mereka mencapainya.
Kejayaan itu turut menyaksikan kelab yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu mencipta sejarah dalam kancah bola sepak negara apabila muncul satu-satunya pasukan yang muncul juara untuk 10 musim berturut-turut selepas kali pertama memenanginya pada 2014.
Pengendalinya, Esteban Solari menganggap kemenangan tersebut adalah usaha 41 orang pemain dan walaupun tidak semua mempunyai peluang bermain secara kerap namun mereka sentiasa membantu rakan sepasukan dengan saling memberi motivasi.
Tidak dapat dinafikan pada musim ini, terdapat beberapa pemain hanya merekodkan kurang daripada 45 minit permainan walaupun sebelum ini mereka merupakan tonggak utama JDT bag setiap aksi penting pertandingan.
Sama ada zaman kemuncak sudah semakin pudar ataupun posisi mereka terisi dengan pengganti lain, kali ini berdasarkan statistik dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Majoriti menyenaraikan tiga pemain JDT yang hanya mencatat kurang daripada 45 minit permainan musim ini;
1) Aidil Zafuan Abd Razak
Aidil Zafuan membuat penampilan pertama musim ini ketika aksi menentang PDRM FC. — Facebook/JDT
Bek tengah berpengalaman, Aidil Zafuan Abd Razak mula menyertai Harimau Selatan pada 2013 dan merupakan satu-satunya pemain yang masih kekal bersama Harimau Selatan sejak revolusi besar-besaran dilancarkan pada 2014.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, musim 2019 merupakan kali terakhir ketua pasukan JDT itu merekodkan banyak penampilan apabila diturunkan dalam 13 perlawanan Liga Super dan mengumpul sebanyak 1,017 minit permainan.
Musim ini, selepas 22 perlawanan berlangsung setakat ini, pemain berusia 36 tahun itu akhirnya membuat penampilan pertama apabila Solari memutuskan untuk memasukannya ketika aksi menentang PDRM bagi menggantikan Shane Lowry di minit ke-71.
Bekas pemain Harimau Malaya itu akhirnya berhasil mengumpul sebanyak 19.05 minit permainan bersama Harimau Selatan pada musim ini dan turut menyarung lilitan kapten dalam aksi Liga Super tersebut.
Dalam tempoh 19 minitnya beraksi itu, Aidil Zafuan juga mendapat kritikan penyokong apabila hampir memusnahkan harapan JDT untuk mendapatkan clean sheet selepas pemain PDRM, Nabil Ahmad Latpi merampas bola di kaki beknya namun akhirnya diselamatkan oleh Feroz Baharudin.
2) Safawi Rasid
Safawi kembali ke JDT pada Julai lalu selepas berkelana selama enam bulan di Thailand. — Facebook/JDT
Siapa sangka pemain yang dahulunya pernah merangkul sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada 2018 dan 2019, Safawi Rasid kini banyak meluangkan masa di bangku simpanan Harimau Selatan dan mencatatkan kurang minit permainan.
Pada penghujung musim lalu, pemain berusia 26 tahun itu dipinjamkan ke Ratchaburi FC dan sempat membuat sebanyak 13 penampilan untuk saingan Liga Thailand, selain merekodkan satu hantaran bantuan untuk kelab tersebut.
Jodohnya bersama Ratchaburi tidak panjang apabila Safawi memutuskan untuk kembali ke JDT pada jendela perpindahan Julai lalu dan keputusan tersebut nampaknya mendapat kritikan daripada penyokong kerana risau pemain itu hanya memanaskan bangku simpanan.
Kerisauan penyokong menjadi kenyataan apabila penyerang sayap itu hanya beraksi dalam dua aksi Liga Super sejak Julai lalu dan merekodkan sebanyak 42.31 minit permainan sahaja dan ia merupakan rekod terburuknya sepanjang bergelar pemain JDT.
Safawi juga diturunkan dalam aksi Piala MFL bersama skuad JDT II dan perkara tersebut dipercayai agar dia kembali mendapatkan keyakinannya untuk beraksi di saingan lebih penting.
3) Nazmi Faiz
Nazmi tampil dalam dua aksi Liga Super musim ini. — Facebook/JDT
Nazmi Faiz tiba dari Selangor pada 2019 dan sejak itu dia banyak memainkan peranan untuk jentera tengah Harimau Selatan namun semakin lama peranannya banyak dipikul oleh anak jati Johor, Afiq Fazail ketika ini.
Nazmi yang pernah beraksi bersama kelab Divisyen 1 Liga Portugal, S.C Beira-Mar selama lapan bulan itu sangat mahir melakukan jaringan di samping merencanakan gerakan pasukan itu dari kawasan tengah.
Namun lambakan pemain tengah lain membuatkan tonggak berusia 29 tahun itu hanya tampil dalam dua perlawanan sebagai pemain gantian setakat 22 perlawanan Liga Super yang diharungi skuad Harimau Selatan.
Dua perlawanan tersebut ialah ketika aksi menentang Kelantan FC dan Perak FC, yang mana menyaksikan Nazmi hanya merekodkan sebanyak 42.56 minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,