'Kalau tiada angin, manakan pokok akan bergoyang', TMJ bukan saja-saja 'usik' Selangor FC


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Tindakan TMJ yang sering mengkritik situasi dalaman Selangor FC menimbulkan persoalan pelbagai pihak. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENYINGKIRAN Selangor FC daripada Piala Malaysia 24 September lalu menyaksikan pelbagai pihak mula mempersoalkan cita-cita pihak pengurusan kelab.

Bagi mereka, kegagalan untuk menamatkan penantian menjulang trofi membuktikan usaha pasukan masih belum mencukupi meskipun sudah membuat pelaburan besar-besaran.

Antara yang turut membuka mulut ialah pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang jelas mempertikaikan hala tuju skuad Gergasi Merah.

Persoalan tersebut dilontarkan menerusi beberapa hantaran di InstaStory yang menegaskan beberapa individu dalam pengurusan kelab tidak mempunyai semangat dalam membangkitkan zaman kegemilangan Selangor FC.

Luahan itu sudah tentu menyebabkan rata-rata penyokong pasukan Lembah Klang berkenaan mempertikaikan keputusan TMJ untuk campur tangan mengenai urusan pasukan lain.

WhatsApp Image 2023-09-30 at 07.36.07

Satu komen panjang lebar ditinggalkan JDT menerusi akaun Instagram peribadinya.

Antara hujah yang digunakan mereka adalah dengan mengatakan TMJ tidak perlu memberi perhatian terhadap skuad Gergasi Merah memandangkan JDT sudah berada di tahap lebih tinggi.

Musim ini sahaja, tiga trofi sudah sah menjadi milik mereka, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih dengan skuad Harimau Selatan juga berpeluang untuk menjulang Piala Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, kualiti pemain yang dimiliki mereka turut menyaksikan beberapa rekod berjaya dipecahkan, sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai antara yang terbaik pernah disaksikan dalam sejarah bola sepak tanah air.

Jadi, kedua-dua hal tersebut sudah cukup untuk memberikan sebab buat TMJ untuk tidak memberikan perhatian terhadap situasi semasa Selangor FC yang dianggap bukanlah pencabar sebenar buat mereka.

Bagi menjawab pertikaian berkenaan, TMJ memberi satu penjelasan lanjut menerusi komen yang ditinggalkan di laman Instagram Semua Bola pada Jumaat.

RMS TMJ

TMJ mempunyai hubungan peribadi yang baik bersama RMS.

"Saya tak pernah ada masalah dengan Selangor atau pihak pengurusan lama. Tetapi, apabila pihak pengurusan baharu ambil alih, apa tindakan pertama mereka?

"Buat tulisan di tembok Stadium Shah Alam hilang taringnya. Kedua, Izhar Moslim dan kakitangan Selangor FC kerap tulis benda-benda provokasi terhadap JDT. Kalau tiada angin, pokok takkan bergoyang," katanya.

Jelas TMJ, kesemua catatan itu pernah dikumpulkan dan dipamerkan kepada pemilik kelab, Raja Muda Selangor (RMS) Tunku Amir Shah.

Sebelum ini, Izhar yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sering menjadi perhatian TMJ apabila dilabel sebagai punca di sebalik isu dalaman pasukan.

Dia kemudiannya memilih untuk meletakkan jawatan tahun lalu dengan pengunduran terbabit turut mencuri perhatian pelbagai pihak, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong skuad Gergasi Merah.

Jelas TMJ lagi, tindakan segelintir individu dalaman Selangor FC yang hanya menyembunyikan diri setelah membuat kenyataan tidak berasas turut menyebabkannya kurang berpuas hati dengan pasukan terbabit.

"Sekarang ni, kenapa penyokong Selangor masih tak boleh nampak yang masalah saya adalah dengan beberapa individu dalam Selangor FC yang bersikap baling batu dan sembunyi tangan.

"Jadi, buat balik research dari mana masalah dia bermula. Tak payahlah nak menyibuk kalau tak tahu. Kalau ayat awak guna daripada atas hingga ke bawah ada masalah, kami pun boleh cakap daripada atas sampai ke bawah lembik baling batu sembunyi tangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram