[VIDEO] Terlepas pingat gangsa, Nur Dhabitah sempat beri pesanan buat Jiggy Masin


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.

PENERJUN elit negara, Nur Dhabitah Sabri terlepas menambah koleksi pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas menamatkan saingan di tempat keempat acara 1 meter (m) papan anjal wanita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Isnin.

Dhabitah, yang pada mulanya dijangka mampu menghadirkan kilauan gangsa, disingkirkan pemenang pingat gangsa temasya 2018 di Jakarta-Palembang, Kim Su-ji dari Korea Selatan pada terjunan kelima dan terakhir.

Menerusi perkongsian video, Dhabitah sempat mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan doa.

"Kepada rakyat Malaysia semua, terima kasih untuk doa-doa kalian semua dan kepada keluarga saya, terima kasih kerana menyokong," katanya.

Bagaimanapun, atlet terjun negara yang memberikan ucapan kepada suami tercinta, Mohamad Aizat Ahmad Nazri sempat mencuri tumpuan warga maya.

"Terutamanya kepada suami saya yang sentiasa menyokong dari hari pertama saya terbang ke China untuk sesi latihan, his been my number one supporter (dia adalah penyokong nombor satu saya.

"Alhamdullilah, terima kasih kerana berkat dan doa suami saya, saya dapat menang dan bawa balik dua pingat," ujarnya.

Sebelum ini, Dhabitah berjaya meraih pingat perak bersama Wendy Ng dalam acara 3m papan anjal seirama dan gangsa bersama Pandelela Rinong 10m platform seirama.

Terdahulu, Dhabitah dan suaminya, Mohamad Aizat yang mesra dengan panggilan Jiggy Masin itu mendirikan rumah tangga pada 28 April lalu dalam sebuah majlis tertutup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram