'Satu keputusan wajar tamat kontrak', Yazan perlu terima hukuman MFL — Pakar


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Yazan ditamatkan kontrak oleh Selangor FC.

PEMAIN import Selangor FC, Yazan Al-Arab menjadi bualan para peminat bola sepak tempatan selepas mengasari pengadil utama, Mohd Hasrol Mohd Amir pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu pada 24 September lalu.

Tindakan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Jordan itu mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada penyokong sekali gus membayangkan hukuman berat sedang menanti pemain tersebut.

Perbuatan tersebut dilakukan selepas dia sebelum itu terlebih dahulu dilayangkan kad merah dipercayai akibat tindakannya yang menolak pengadil berkenaan.

Difahamkan, punca kepada insiden berkenaan berlaku disebabkan Yazan dilihat melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan ketika perlawanan terbabit.

Yazan Al-Arab Jordan

Yazan merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Jordan.

Gara-gara insiden sepak pengadil itu, Selangor FC mengumumkan penamatan kontrak pemain petahanan import dari Jordan, Yazan Al-Arab berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.

Penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, beliau memberi pujian kepada pihak pengurusan Selangor yang menamatkan kontrak Yazan susulan insiden terbabit.

"Pandangan saya ia satu keputusan yang wajar dan perlu kita hormati sebab ini sebenarnya untuk memberikan satu teladan kepada pasukan lain ataupun pemain-pemain import dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Apa yang Selangor lakukan ialah satu penanda aras atau gambaran yang baik dan harap pasukan lain jika ada pemain import perangai seperti ini tidak teragak-agak untuk buat tindakan sama," katanya kepada Majoriti.

Yazan Tendang

Tangkap layar memaparkan Yazan menendang Hasrol setelah wisel penamat perlawanan ditiupkan.

Tambahnya lagi, Yazan wajar dikenakan tindakan meskipun tidak lagi bersama Selangor dan kehilangan pemain itu mungkin tidak akan memberikan kesan yang banyak kepada skuad Gergasi Merah.

"Saya nampak mungkin menjejaskan sedikit benteng pertahanan barisan Selangor.

"Kalau kita melihat kepada ketiadaan pemain ini (Yazan), Selangor ada pemain lain yang boleh diharapkan di benteng pertahanan ia tidaklah menjejaskan keseluruhan benteng pertahanan pasukan Selangor.

"Kita tidak boleh anggap ia perkara yang boleh dimaafkan begitu sahaja, tiada 'double standard' tiada pilih kasih dia perlu dikenakan hukuman setimpal.

"Pemain ini sepatutnya tidak boleh terlepas dengan hukuman MFL dan wajar dikenakan hukuman meskipun tidak lagi bersama Selangor FC," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram