SELEPAS berehat hampir dua minggu dalam saingan Liga Super 2023, kini penyokong tanah air akan dihiburkan dengan aksi-aksi menarik yang bakal disajikan oleh pasukan bola sepak tempatan.
Kedah Darul Aman (KDA) akan memulakan saingan Liga Super berdepan dengan Kuala Lumpur City FC pada Sabtu.
Selepas tersingkir daripada Piala Malaysia di tangan Perak FC dengan agregat 3-4, kelab Utara tanah air tersebut meraih keputusan positif dalam Liga Super apabila mengikat Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri.
Meskipun berjaya mengikat Harimau Selatan, KDA FC dilihat gagal meneruskan momentum tersebut.
Malah, turut menambah derita pasukan kendalian Nafuzi Zain itu apabila KDA FC sekali lagi terpaksa berputih mata sebaik kalah di tangan pasukan tercorot Liga Super, Kuching City FC dalam saingan MFL Challenge Cup.
Dalam pada itu, pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu perlu melakukan beberapa perubahan agar terus kekal berada dalam kedudukan lima terbaik Liga Super.
Bagaimanapun, jika melihat kepada kedudukan semasa Sang Kenari dalam Liga Super, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu dilihat masih berpeluang untuk mengesahkan slot ke Piala Asia musim depan.
Hal ini kerana, KDA FC yang mengumpul 44 poin dilihat berpeluang menggugat kedudukan kedua liga yang kini dihuni oleh Selangor FC dengan mengutip 49 mata.
Sekitar aksi sesi latihan barisan pemain Sang Kenari. — Facebook/KDAFC
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga sebab KDA FC wajib menang dengan KL City FC:
1. Balas dendam
Kekalahan sebelum ini ketika menentang The City Boys sudah pasti membakar semangat skuad Jelapang Padi itu untuk menebus maruah mereka kembali kerana tewas dengan keputusan tipis iaitu 3-2 pada 18 April lalu.
Kecuaian di babak kedua membuatkan pasukan KDA FC berputih mata apabila pemain KL City iaitu Caion menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 75.
Susulan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain perlu memberikan fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras agar kesilapan sebelum ini tidak berulang semula.
2. Mengekalkan prestasi pasukan
Untuk mengekalkan prestasi yang baik dalam Liga Super, pasukan Sang Kenari perlu membenam KL City agar terus kekal menjadi pesaing hebat pada musim yang akan datang.
Tentunya banyak kebaikan dan kepentingan sesebuah pasukan apabila mereka mampu mengekalkan prestasi yang baik dalam liga antaranya mampu untuk menarik minat bintang di masa akan datang.
Hal ini kerana, sekiranya KDA FC mampu mengekalkan prestasi baik tentunya para pemain yang berbakat akan mencari pasukan yang cemerlang bagi membantu sesebuah pasukan itu.
3. Buktikan tiada masalah gaji berlaku
Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan wujudnya isu dalaman yang dihadapi pasukan Utara tanah air itu selepas mengalami kekalahan mengejut di tangan Kuching City FC.
Difahamkan, isu dalaman yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan masalah tunggakan gaji.
Bagaimanapun, tampil mengulas perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali pula enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai isu kontroversi yang menimpa kem KDA FC.
Dalam pada itu, belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh oleh pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar akan menyelesaikan isu dalaman berkenaan.
Selepas ini, Sang Kenari bakal berkunjung ke Stadium KLFA, Cheras pada 30 September bagi melengkapkan pusingan kedua Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram