HANYA kerana memakai jersi penyerang berbisa Real Madrid, Vinicius Junior, seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa perkauman di Stadium Wanda Metropolitano, Sepanyol ketika aksi derbi pada Isnin.
Penyokong cilik yang memakai baju dengan nama dan nombor Vinicius Junior di belakang pada perlawanan derbi Madrid didakwa menjadi mangsa perkauman daripada penyokong Atletico Madrid.
Bagaimanapun, bekas penyerang Madrid, Emilio Butragueno telah menjemput kanak-kanak perempuan itu dan keluarganya bertemu dengan presiden Real Madrid, Florentino Perez serta skuad Real Madrid.
Dalam satu perkongsian video tersebut, kanak-kanak itu dilihat gembira kerana dapat berjumpa dan bergambar dengan barisan pemain Real Madrid selain menerima jersi daripada pasukan itu.
Lebih menarik lagi, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat dapat mengambil gambar bersama Vinicius Jr.
Dalam perlawanan La Liga Sepanyol itu, Atletico Madrid meraih kemenangan dengan keputusan 3-1 menewaskan Real Madrid.
Sebelum ini, Vinicius Jr pernah mengkritik La Liga Sepanyol sebagai liga paling rasis yang memberikan imej buruk kepada negara Sepanyol di mata dunia terutamanya di Brazil.
Pemain kelahiran Brazil itu diejek dengan perkataan monyet oleh salah seorang penyokong yang hadir dan pemain muda itu dilayangkan kad merah lalu diperintah keluar padang pada minit-minit terakhir kerana terlibat dalam pertengkaran dengan pemain Valencia, Hugo Duro.
Namun, pemain berusia 22 tahun itu tidak mahu meninggalkan kelabnya berikutan isu perkauman tersebut malah bertekad ingin melawan isu rasis di negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram