SEORANG pemain skuad bola sepak pekak Turkiye rebah sejurus tamat separuh masa pertama perlawanan menentang Argentina dalam kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Selangor pada Sabtu.
Perkongsian video itu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Syifa Nasir yang memperlihatkan pegawai perubatan bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada pemain berjersi nombor lapan dari Turkiye itu.
"Sejurus tamat separuh masa pertama perlawanan Bola Sepak Pekak Dunia di antara Turkiye dan Argentina, pemain berjersi nombor lapan dari Turkiye rebah dan dikejarkan ke hospital," ciapnya dalam X.
Menerusi video tersebut, pemain itu dilihat masih tidak sedarkan diri walaupun sudah diusung oleh pegawai perubatan ke dalam ambulans.
Dalam perlawanan itu, Turkiye menang dengan keputusan 5-0, sekali gus berjaya mara ke pusingan seterusnya.
Berkemungkinan faktor cuaca yang panas di sebelah petang menjadi antara salah satu sebab pemain Turkiye itu rebah di atas padang sejurus tamat separuh masa pertama perlawanan.
Manakala skuad bola sepak pekak negara pula akan berdepan Cameroon di Stadium MBSJ dalam penentuan kedudukan ke-17 dan 18 Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia pada Isnin di venue yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram