SELEPAS menikmati satu tempoh cukup meyakinkan tanpa mengalami sebarang kekalahan, Terengganu FC akhirnya tewas ketika menerima kunjungan Selangor FC 29 September lalu.
Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner tumpas 0-4 kepada pasukan pelawat.
Meskipun keputusan berkenaan dirasakan tidaklah begitu mengecewakan, beberapa penyokong Sang Penyu yang lain mula berfikir sebaliknya.
Ini kerana mereka melihat naib juara Liga Super 2022 berkenaan sudah berada di zon selesa apabila tidak mengalami sebarang kekalahan dalam 12 perlawanan.
Lebih merisaukan lagi, Terengganu FC bakal berdepan cabaran getir selepas ini apabila mereka dijadualkan untuk aksi Piala AFC berdepan wakil dari Indonesia, Bali United pada Rabu.
Skuad Sang Penyu mengalami kekalahan ketika berdepan Selangor FC. — Facebook/Terengganu FC
Pasukan tersebut sudah tentu akan menyajikan saingan berbeza buat skuad Sang Penyu setelah meraih kemenangan 5-2 ke atas Stallion Laguna FC dalam aksi pembukaan Kumpulan G.
Prestasi memberangsangkan tersebut juga dipamerkan di peringkat domestik dengan pasukan kendalian Stefano Cugurra itu memiliki antara jentera serangan terbaik dalam Liga 1 Indonesia.
Jadi, melihat kepada kedua-dua faktor berkenaan, Terengganu FC sudah tentu perlu berwaspada dalam usaha mereka mahu mendapatkan kemenangan kedua berturut-turut.
Bagi bekas pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, kekalahan yang dialami dalam Liga Super baru-baru ini memberi petunjuk bahawa terdapat perubahan perlu dilakukan.
"Ketika berdepan Central Coast Mariners, mereka bermain dengan cukup baik tetapi, ketika bertemu Selangor FC, gaya permainan mereka kurang menarik.
"Jadi, itu harus diperbaiki, terutamanya apabila mereka bakal beraksi di tempat lawan. Selain itu, pertahanan mereka juga kelihatan goyah sedikit, itu juga perlu diperbaiki," katanya kepada Majoriti.
Bali United memiliki jentera serangan yang cukup berbahaya ketika ini. — Agensi
Dalam perlawanan dengan Selangor FC, skuad Sang Penyu membuat beberapa perubahan dari segi pemilihan pemain bagi membolehkan tonggak utama direhatkan.
Penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn dan pemain muda, Syahmi Zamri merupakan antara yang diberikan minit permainan memandangkan masing-masing kurang diturunkan musim ini.
Hal itu turut dirasakan Irfan Bakti sebagai satu pendekatan dalam memastikan pemainnya akan lebih bertenaga untuk aksi Piala AFC.
"Pada saya, dalam Piala Malaysia, mereka mungkin berdepan cabaran untuk bergelar juara mahupun naib juara. Jadi, mereka mungkin mahu beri perhatian kepada Piala AFC," katanya.
Terengganu FC bakal berdepan Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada Rabu dalam usaha mereka merebut kedudukan tempat pertama Kumpulan G.
Irfan Bakti sebelum ini pernah membimbing skuad Sang Penyu untuk beberapa kali, termasuk ketika mereka menjuarai Piala FA 2011.
Kini, jurulatih berusia 72 tahun terbabit sudah tidak lagi aktif dengan Kuching City FC merupakan pasukan terakhir yang dikendalikannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram