Sang Penyu ada kelebihan tak terduga jumpa Bali United


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Bali United terpaksa berdepan hukuman beraksi di hadapan jumlah penyokong yang lebih rendah. — Agensi

SELEPAS membuka aksi Piala AFC dengan kemenangan ke atas Central Coast Mariners, Terengganu FC bakal berdepan cabaran kedua apabila berdepan wakil dari Indonesia, Bali United.

Perlawanan di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada 4 Oktober itu bakal menyaksikan skuad Sang Penyu berdepan pendahulu Kumpulan G yang turut mengumpul tiga mata ketika aksi pertama mereka.

Pertembungan berkenaan pastinya cukup mencabar buat anak-anak buah Tomislav Steinbruckner memandangkan Bali United mempunyai jentera serangan yang cukup berbahaya ketika ini.

Ia dapat dibuktikan apabila skuad kendalian Stefano Cugurra tersebut menjaringkan lima gol ketika berdepan Stallions Laguna di Stadium Bola Sepak Binan, Filipina pada 20 September lalu.

382466427_300246606050114_1558843759773454097_n

Skuad Sang Penyu kini berada di tangga kedua Kumpulan G Piala AFC. Facebook/Terengganu FC

Tidak cukup dengan itu, Terengganu FC juga perlu bersedia dari segi emosi apabila stadium milik Bali United itu cukup dikenali dengan suasana yang hangat.

Bagaimanapun, nasib seolah-olah berpihak kepada pasukan Pantai Timur itu berdasarkan satu notis yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terhadap pasukan Indonesia terbabit.

Kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin itu mengatakan pasukan berkenaan didapati melanggar Peraturan 64.1 dan 65.1 berkaitan displin dan kod etika AFC.

"Pelanggaran tersebut berlaku ketika aksi Kumpulan G Piala AFC 2022 antara Bali United dengan Kaya FC Iloilo di Stadium Kapten I Wayan Dipta pada 30 Jun 2022.

WhatsApp Image 2023-10-02 at 19.47.12

Penggunaan suar dan bom asap menyebabkan Bali United didenda oleh AFC. Agensi

"Denda yang dikenakan AFC kepada Bali United bernilai RM141,510 (USD30,000) sudah dilunaskan kepada pihak pengurusan AFC. Selain itu, terdapat juga hukuman lain yang dikenakan dengan Bali United perlu mengosongkan 75 peratus daripada kapisiti stadium untuk aksi di peringkat Asia," tulisnya.

Berdasarkan notis terbabit, hukuman berkenaan dikenakan akibat penggunaan suar dan bom asap dalam kalangan penyokong sehingga mengakibatkan ancaman terhadap penonton di stadium.

Melihat kepada kapisiti Stadium Kapten I Wayan Dipta, hanya 4,500 penyokong daripada kedua-dua pasukan dibenarkan untuk berada dalam stadium untuk aksi terbabit.

Venue tersebut juga bakal digunakan untuk aksi kedua Kumpulan H Piala AFC antara Sabah FC dengan PSM Makassar dalam usaha masing-masing merebut kedudukan pertama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram