Hujan lebat punca aksi Sabah-TRW tunda, fans The Rhinos anggap rahmat AFC


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Keadaan hujan lebat di Kota Bharu sebelum sepak mula Kelantan menentang Sabah. — MFL

PERLAWANAN Liga Super antara Kelantan FC dan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan pada Jumaat terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu ekoran cuaca buruk.

Sepak mula belum berlangsung sehingga pegawai perlawanan ambil keputusan untuk menghentikan aksi buat seketika kerana hujan lebat sebelum membuat keputusan untuk menangguhkannya.

Selepas hampir setengah jam menanti, pengelola liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberitahu perkembangan di Kota Bharu menerusi media Facebook rasmi mereka.

“Perlawanan Liga Super di antara Kelantan FC lawan Sabah FC yang dijadualkan bermula 9:00 malam ini terpaksa ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak berikutan hujan lebat mengakibatkan permukaan padang ditakungi air,” menurut pengumuman MFL.

Keadaan tersebut bagaimanapun dianggap satu rahmat buat penyokong pasukan Sabah FC kerana barisan pemain terutama tonggak utama boleh menggunakan peluang tersebut untuk berehat sebelum perlawanan kedua Piala AFC.

“Syukur, lebih bersedia untuk perlawanan AFC minggu depan. Positive thinking,” kata penyokong The Rhinos, Le Anna Gumbs.

“Mantap.. Boleh rehat cukup-cukup untuk lawan PSM nanti tanggal 3..ada baiknya,” tambah penyokong, Suheimei.

Khamis ini skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan terbang ke Indonesia untuk perlawanan penting menentang wakil negara itu, PSM Makassar bagi aksi kedua Kumpulan H Piala AFC.

Sebelum ini, The Rhinos menewaskan wakil Singapura, Hougang United FC 3-1 menerusi dua jaringan Darren Lok dan satu dari Gabriel Peres dalam aksi pertama Kumpulan H saingan Piala AFC 2023 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram