‘Memang kontrak dia akan tamat’, CEO Kelantan FC perjelas isu pemain import TRW


  • Podium
  • Ahad, 01 Okt 2023

Ejen Siringoringo sebelum ini mendedahkan bahawa pemain Indonesia itu sedang dalam perbincangan dengan kelab di Singapura dan Thailand.

KONTROVERSI membabitkan pemain import Indonesia, Natanael Siringoringo yang sah meninggalkan Kelantan FC akhirnya dijawab oleh pihak pengurusan The Red Warriors (TRW).

Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan bahawa status kontrak semasa Siringoringo dengan TRW sememangnya akan berakhir hujung tahun ini.

"Menjawab mengenai isu viral yang berlaku Natanael Siringoringo dan Kelantan FC.

"Memang kontrak dia akan tamat pada tahun ini selepas bersama Kelantan FC sejak 2021-2023.

"Dia berhak memilih hala tujunya sendiri ke mana akan berhijrah. Tiada pemain kelab bola sepak yang akan kekal.

"Insya-ALLAH musim depan kita akan buat 'reshuffle' semuanya," katanya.

Dewa United

Siringoringo kembali ke pangkuan TRW selepas dipinjamkan ke Dewa United (Indonesia) semasa jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Agensi

Ahmad Muzakkir turut menjelaskan isu tunggakan gaji yang turut dikaitkan dengan penamatan kontrak pemain import Indonesia itu.

"Berkenaan gaji pula kita akui ada tunggakan dan kita komited untuk selesaikan semua tunggakan, kita baru mula laksanakan berperingkat sehingga selesai semuanya tunggakan ini nanti.

"Masalah gaji tahun ini saya difahamkan ada dua atau tiga buah kelab juga mempunyai masalah yang sama macam kita.

"Namum tahap viralnya lebih kepada kita, tidak mahu bercakap tentang perkara itu, kita tetap akan fokus untuk selesaikan walaupun lambat tapi akan selesai.

"Pemilik kelab juga begitu komited dan berusaha untuk menyelamatkan kelab dengan apa jua keadaan sekali pun," tegasnya.

Tambahnya lagi, isu tentang perlesenan kelab juga tidak akan mempunyai sebarang halangan buat Kelantan untuk terus bersaing dalam Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram