Sah angkat kaki tinggalkan Kelantan, Siringoringo kini jadi buruan kelab 3 buah negara


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Pemain Kelantan FC meraikan jaringan Siringoringo ketika bertemu Kuching City FC pada 21 Julai lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC

MASALAH tunggakan gaji terus membelenggu pasukan Kelantan FC selepas salah seorang pemain import, Natanael Siringoringo sah meninggalkan pasukan itu.

Siringoringo yang kembali ke pangkuan The Red Warriors (TRW) selepas dipinjamkan ke Dewa United (Indonesia) semasa jendela perpindahan kedua itu turut menimpa nasib yang sama seperti pemain import sebelum ini.

Secara tidak langsung, Kelantan kini hanya mempunyai seorang import iaitu Leonardo Rolon selepas gagal mendaftar pemain baharu seperti Alie Sesay, Aliakbar Ahmadi, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening kerana sekatan perpindahan yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Musim ini, Siringoringo merupakan antara arkitek penting buat skuad kendalian Alfredo Vera apabila dia merekodkan tiga jaringan dan dua bantuan gol (assist) dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super.

Siringoringo Dewa United

Siringoringo sebelum ini dipinjamkan ke Dewa United.

Ejen pemain sayap kanan itu, 2Touch International mengesahkan Siringoringo sudah pun menamatkan kontrak dengan Kelantan dan kini sedang dalam proses mengambil tindakan terhadap kelab Pantai Timur itu.

"Nael akan meninggalkan Kelantan, 2Touch International sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan FC selepas gagal membayar gaji.

"Walaupun sudah diberikan notis wajib bayar selama 15 hari, tiada jalan penyelesaian yang dapat dicapai.

"Ia sekali gus, Natanael akan menjadi ejen bebas. Ketika ini, dia sedang berunding dengan beberapa kelab di Malaysia, Thailand dan Singapura.

"Sama-sama kita mengharapkan kejayaan Natanael di masa depannya," katanya dalam Instagram.

TRW

Ejen Siringoringo mengesahkan pemain Indonesia itu berpisah dengan Kelantan.

Dalam ruangan komen Instagram 2Touch International pula, rata-rata bekas pemain dan jurulatih turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain kebangsaan Indonesia itu.

"Semoga yang terbaik di masa akan datang," kata Ikhwan Yazek.

"Semoga berjaya Ringgo," luah Rezal Zambery.

"Semoga berjaya sahabat," jelas Nixon Guylherme. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram