KELANTAN FC nampaknya bukan hanya mengalami masalah prestasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kerana isu tunggakan gaji masih menghantui kelab Pantai Timur itu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh pemain sayap dari Indonesia, Natanael Siringoringo yang difahamkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Kelantan selepas difahamkan tidak dibayar gaji oleh The Red Warriors (TRW).
“Natanael Siringoringo bakal meninggalkan Kelantan dimana pihak peguam sudah mengambil tindakan undang-undang ekoran kegagalan kelab itu membayar gaji. Walaupun sudah diberi masa 15 hari untuk menyelesaikan masalah, namun kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.
“Oleh itu, Natanael akan menjadi ejen bebas dan ketika ini dia sedang berunding dengan beberapa pasukan dari Malaysia, Thailand dan Singapura. Kami mendoakan kejayaan Natanael pada masa akan datang,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh ejen Siringoringo, 2Touch International.
Masalah gaji yang membelenggu Kelantan juga didedahkan oleh pemain muda pasukan itu, Harith Akif ketika dia membuat satu siaran langsung di media sosial untuk berinteraksi kepada penyokongnya.
Selepas empat bulan tidak mendapat bayaran gaji daripada kelab yang dimiliki Norizam Tukiman itu, pemain berusia 22 tahun tersebut berkongsi cerita bahawa dia kini hanya ingin menamatkan musim ini sebelum mencari kelab baharu.
Harith bersama Rakan sepasukan TRW. — Facebook/MFL
“Harith Akif dia cakap tunggu habis musim ini dan tahun depan cari kelab baharu, empat bulan gaji tak bayar mujur dia kata ada ibu kerja pensyarah dan ayah kerja engineering rajin bank in dia bulan-bulan.
“Dia cakap sampai ada pemain Kelantan kerja part time cari duit , ramai hilang sabar dengan boszam (Norizam),” katanya dalam siaran langsung itu.
Harith adalah salah seorang pemain yang menyinar bersama Kelantan musim ini apabila penyerang terbabit sudah menjaringkan enam gol dengan empat daripadanya hadir dalam saingan Piala MFL sementara dua lagi diperoleh dalam Liga Super.
Terdahulu, TRW turut mengalami masalah gaji di awal musim 2023 dan isu tersebut mula beransur selesai pada Jun 2023 apabila Norizam atau Zamsaham memaklumkan sudah membayar penuh tunggakan gaji pemain tempatan pasukan itu.
Skuad kendalian Alfredo Vera itu kini kini menduduki tangga ke-13 selepas tewas 17 perlawanan, dua kali seri dan sekadar merekodkan dua kemenangan dalam 21 perlawanan Liga Super setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram