[VIDEO] Tak sedarkan diri, penjaga gol patah tulang leher buat satu stadium menangis


  • Podium
  • Ahad, 01 Okt 2023

Pemain-pemain berganding bahu mengelilingi Vaessen sambil mengalirkan air mata kerana tidak tahan melihat insiden ngeri itu. — Agensi

PERLAWANAN di antara RKC Waalwijk dan AFC Ajax terpaksa dihentikan susulan insiden ngeri yang membabitkan penjaga gol tuan rumah (Waalwijk) dengan penyerang pasukan pelawat (Ajax), Brian Brobbey pada awal pagi Ahad.

Ajax yang hampir membawa pulang tiga mata penuh terpaksa pulang dengan hampa selepas komisioner perlawanan membuat keputusan membatalkan aksi itu akibat pelanggaran di antara Etienne Vaessen dan Brobbey pada minit ke-83 perlawanan.

Insiden tersebut berlaku ketika Ajax melakukan serangan ke arah kubu pertahanan Waalwijk yang mana Vaessen berani keluar dari kawasannya untuk merampas bola di kaki Brobbey sebelum kepalanya berlanggar dengan lutut pemain muda Ajax itu.

Disebabkan pelanggaran itu, Vaessen tidak menyedarkan diri di tempat kejadian sekali gus memaksa pegawai perubatan masuk ke dalam padang untuk memberikan bantuan kecemasan kepada penjaga gol berusia 28 tahun itu selepas dia dipercayai patah tulang leher.

Semasa menerima rawatan, pemain-pemain berganding bahu mengelilingi Vaessen sambil mengalirkan air mata kerana tidak tahan melihat insiden ngeri itu.

Menurut pengarah Waalwijk, Vaessen kini berada di hospital dan sudah sedar daripada kesan hentakan itu.

"Kakitangan perubatan kami mula memeriksa keadaan Vaessen dan tiada masalah dengan jantungnya. Dia sedar semula ketika meninggalkan padang tetapi dia tidak tahu dia berada di mana," katanya kepada NOS.

Kini Vaessen berada di hospital dan masih menerima rawatan walaupun dilaporkan sudah sedar daripada hentakan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram