
PERSEMBAHAN atlet olahraga kebangsaan menunjukkan petanda semakin baik apabila kuartet 4x100 meter lelaki berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir di Sukan Asia Hangzhou, China pada Selasa malam.
Beraksi di Stadium Olimpik Hangzhou pada Isnin, gandingan Khairul Hafiz Jantan, Arsyad Saat, Jonathan Nyepa dan Azeem Fahmi berjaya membantu Malaysia mara ke pusingan akhir selepas menduduki tangga keempat pada separuh akhir.
Catatan masa yang diraih adalah 39.40 saat dan selepas saringan pertama, kuartet negara berada di tangga ketiga. Hanya kuarter China serta Korea Selatan lebih pantas berbanding mereka dengan masing-masing mencatatkan masa 38.62 saat dan 38.75 saat.
Selepas tamat saringan keseluruhan, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga keempat namun masih lagi layak untuk beraksi pada perlumbaan akhir yang akan diadakan pada Selasa.
Sebagai rekod, catatan masa 39.40 saat yang diperoleh oleh kuartet negara adalah sedikti perlahan berbanding apa yang dilakukan mereka pada Sukan SEA Hanoi.
Ketika itu, gandingan Azeem, Muhammad Arsyad, Haiqal Hanafi dan Zulfiqar Ismail meraih catatan 39.09 saat.
Selepas berjaya mendapatkan pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki, Azeem mengatakan persembahan kuartet negara belum berada pada tahap sebenar seperti dalam video yang disiarkan di Facebook.
"Bagi saya, larian ini belum 100 peratus sempurna kerana ini merupakan kali pertama kami lari bersama pada tahun ini, tetapi kami semakin bertambah baik.
"Kami belum berpuas hati untuk larian hari ini, saya percaya esok kita boleh buat yang lebih baik," ujar Azeem.
Azeem menegaskan yang dia masih belum berpuas hati dengan catatan masa tersebut dan fokus kini diletakkan bagi mendapatkan hasil cemerlang pada pusingan akhir.
"Rancangannya untuk kekal fokus dan mendapat rehat yang cukup untuk berada dalam keadaan yang baik, supaya kami dapat catatkan masa yang baik untuk negara kita," tambah Azeem lagi.
Selain China dan Korea Selatan, Thailand, Taiwan, Indonesia, Jepun, dan Singapura akan menjadi pencabar Malaysia dalam misi mendapatkan pingat 4x100 meter. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram