[VIDEO] Misi emas bertukar tragedi, pegawai teknikal meraung kesakitan terkena balingan atlet tukul besi


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Zankawi ketika menghentikan pendarahan pegawai tersebut. — Agensi

SEORANG pegawai perlawanan bertugas di Sukan Asia Hangzhou, China mengalami patah kaki dan pendarahan serius selepas terkena tukul besi yang tersasar oleh atlet acara tersebut pada Sabtu.

Peristiwa itu berlaku apabila atlet baling tukul besi dari Kuwait, Ali Zankawi sedang siap melakukan lontaran dalam perlawanan akhir tukul besi lelaki di stadium Olimpik di bandar timur China itu.

Namun, lontaran itu tidak ke kawasan yang ditentukan, sebaliknya tersasar ke bahagian kanan lalu terkena kaki seorang pegawai teknikal yang sedang duduk di situ.

Kaki pegawai yang dikenal pasti sebagai Huang Qinhua berusia 62 tahun itu langsung mengeluarkan darah yang banyak dan dia kelihatan seakan-akan pitam ekoran kejadian ngeri tersebut.

Menyedari kesilapannya itu, Zankawi menghampirinya untuk memberi pertolongan dan kemudian menekan paha Qinhua bagi menghentikan pendarahan sebelum kakitangan perubatan segera membawanya ke hospital berdekatan.

“Pegawai itu disahkan mengalami patah tulang tibiofibulus kanan. Pada masa ini tanda-tanda vitalnya stabil,” kata jurucakap Xu Deqing Sport pada sidang akhbar pada Ahad.

Zankawi, pemenang pingat perak pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar kemudian memberitahu agensi berita AFP, dia melawat pegawai tersebut di hospitalnya pada Ahad dan meminta maaf kepada Qinhua. Permohonan maaf diterima dan mereka juga bergambar bersama.

Dalam pada itu, perlawanan akhir itu dimenangi atlit dari China, Wang Qi. Zankawi pula menamatkan saingan di tempat kelapan tetapi masih mencatatkan rekod terbaik musim ini dengan lontaran jarak 67.57 meter.

Dia melakukan lontaran itu pada pusingan kedua sebelum terjadinya kemalangan tersebut.

Berat bola logam yang menimpa Qinhua ialah 7.26 kilogram. Jaring yang ada di sekeliling atlet hanya mampu menampung kesan impak daripada tukul itu dan bukan menghalangnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram