KEM terjun negara terus menuai kilauan pingat apabila giliran gandingan Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng mencuri tumpuan selepas menghadiahkan pingat perak dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita pada Ahad.
Pada saingan final di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu, Nur Dhabitah-Wendy bermula baik pada terjunan pertama untuk berada di kedudukan kedua, namun dipintas gandingan Korea Selatan Park Hareum-Kim Suji selepas terjunan kedua.
Bagaimanapun, pasangan negara bangkit pada terjunan ketiga untuk kembali merampas posisi itu selepas mengumpul keseluruhan 152.40 mata berbanding Park-Kim dengan 144.48 mata.
Nur Dhabitah-Wendy kemudian konsisten mempertahankan kedudukan pada terjunan keempat dan kelima untuk menghadiahkan kilauan perak sulung kem terjun negara pada edisi kali ini selepas mengumpul keseluruhan 270.27 mata.
Sementara itu, Nur Dhabitah ketika ditanya sama ada dia mahu dikenali sebagai penerjun versatil, dia mengakui apa yang dilakukannya itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
"Saya nak semua tahu bahawa apa yang lakukan ini tidak mudah. What I'm doing is not easy. Saya sampai pun tak sempat buat synchronization dengan Wendy kerana terlalu fokus dengan acara platform 10 meter.
"Tiga hari di sini kami berdua sangat sibuk dan letih dengan jadual padat, jadi ," katanya dalam rakaman temu bual di Astro Arena.
Dalam pada itu, Wendy Ng menyifatkan Sukan Asia Hangzhou 2022 merupakan penampilan terakhirnya di temasya itu.
Penerjun berusia 30 tahun itu, yang membuat penampilan keempat berturut-turut di Sukan Asia sejak edisi 2010 di Guangzhou, berkata, dia tidak akan bergandingan dengan Dhabitah untuk edisi seterusnya.
"Sudah pasti, ini merupakan Sukan Asia terakhir dan tidak akan bersama Bitah (Nur Dhabitah) pada temasya empat tahun sekali itu.
"Ini adalah pencapaian yang baik (perak) untuk memberitahu penerjun muda bahawa kami bekerja keras untuk ini dan mereka juga sepatutnya berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas final 10m platform seirama wanita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Malah Wendy berharap dapat bersama Dhabitah dalam membuat penampilan terakhirnya dengan memburu slot di Sukan Olimpik Paris 2024.
Emas menjadi milik gandingan juara dunia dari China Chen Yiwen-Chang Yani selepas mengumpul 335.73 mata sementara pasangan Korea Selatan terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa dengan mengutip 253.56 mata.
Pencapaian dilakar Nur Dhabitah-Wendy itu menyaksikan mereka berjaya mempertahankan perak yang dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Ia juga merupakan pingat ketiga disumbangkan kem terjun negara pada temasya kali ini dan pingat kedua peribadi Nur Dhabitah selepas merangkul gangsa ketika berpasangan dengan Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama wanita, pada Sabtu.
Satu lagi gangsa diraih Malaysia pada Sabtu adalah menerusi gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram