Malaysia bangkit tunjuk taring rangkul emas berpasukan acara skuasy wanita


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Skuad skuasy wanita menghadiahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Asia Hangzhou. — Astro Arena

KILAUAN emas terus menyinar buat kontijen Malaysia apabila kejayaan terus dilakar di Sukan Asia Hangzhou.

Kejayaan merangkul emas hadir sekali lagi buat Malaysia selepas skuad skuasy wanita negara membuatkan lagu Negaraku terus berkumandang di Hangzhou.

Skuad skuasy wanita negara menewaskan Hong Kong 2-1 untuk membawa pulang pingat emas dari Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Sabtu.

Malaysia pada mulanya cemas selepas kalah perlawanan pertama apabila Rachel Arnold ditundukkan oleh Tong Tsz Wing, 11-7, 7-11, 11-8, 8-11 dan 6-11.

Namun begitu, S. Sivasangari menyamakan kedudukan apabila menewaskan Ho Tze Lok dengan penuh bergaya, 11-5, 11-8 dan 11-6 untuk membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh Aifa Azman selepas mengalahkan Chan Sin Yuk dalam aksi penentuan. Aifa menang 11-5, 11-8, 11-13, 11-8 untuk memastikan pingat emas milik negara.

Detik kejayaan tersebut amat manis buat kontijen negara dan ini dapat disaksikan dalam satu rakaman di Twitter (X).

Kejayaan skuad skuasy wanita Malaysia memberikan pingat emas ketiga di Sukan Asia Hangzhou selepas Shazrin Latif memenangi acara pelayaran serta Qabil Ambak menguasai sukan ekuestrian.

Pencapaian cemerlang skuad wanita ini berjaya mengulangi rekod sama pada Sukan Asia Guangzhou dan Sukan Asia Incheon. Ketika itu, Datuk Nicol Ann David mengetuai cabaran negara menuju ke pingat emas.

Kejayaan ini juga mengubati kekecewaan skuad lelaki yang hanya mampu mendapatkan pingat gangsa pada edisi Sukan Asia kali ini.

Walaupun begitu, ia tetap satu pencapian membanggakan. Tahniah diucapkan kepada kem skuasy negara! — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram