Dominasi minit permainan Sang Kenari, Bojan Ciger antara 3 bintang paling dapat kepercayaan Nafuzi Zain


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Ciger telah menjaringan satu gol dan satu assist bersama Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengalami kekalahan mengejutkan di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir MFL Challenge Cup di Stadium Negeri, Sarawak pada Selasa.

Persembahan kurang meyakinkan daripada skuad Sang Kenari sepanjang perlawanan akhirnya dihukum pada minit ke-84 oleh tuan rumah menerusi jaringan Abu Kamara.

Meskipun kekalahan berkenaan tidak memastikan penyingkirkan KDA FC daripada MFL Challenge Cup, ia sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai situasi dalaman pasukan itu.

Selepas tersingkir daripada Piala Malaysia di tangan Perak FC, kelab gergasi Utara tanah air tersebut meraih keputusan positif dalam Liga Super apabila mengikat Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri.

Mereka yang hanya dibezakan lima mata berbanding Selangor FC di tangga kedua memiliki kelebihan satu perlawanan dalam merealisasikan hasrat penyokong Hijau Kuning.

Namun adakah penyokong Hijau Kuning tahu siapakah anak-anak buah Nafuzi Zain yang banyak mendapatkan minit permainan dalam Liga Super musim ini?

Majoriti senaraikan tiga pemain Kedah yang mencatatkan minit permainan tertinggi setakat ini:

Bojan Ciger

Ciger mencatatkan lebih 1874 minit permainan dalam 21 perlawanan.

1. Bojan Ciger

Antara kereta kebal Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini, Bojan Ciger merupakan tonggak utama Nafuzi Zain sejak dia menyertai Sang Kenari.

Pemain berusia 29 tahun itu, menyertai Kedah daripada kelab Uzbekistan, Navbahor Namangan dan perpindahan ke skuad Sang Kenari itu ialah pengalaman pertama beraksi di pentas Asia Tenggara.

Tetapi, ia tidak menjadi masalah buat Ciger apabila dia merupakan pemain Kedah yang paling tinggi mencatatkan minit permainan musim ini dalam Liga Super.

Pemain berketinggian 1.86 meter itu mencatatkan lebih 1874 minit permainan dalam 21 perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol serta satu assist.

Manuel Hidalgo

Hidalgo berjaya menjaringkan tiga gol dan melakukan 10 assists dalam 21 perlawanan.

2. Manuel Hidalgo

Nama Manuel Hidalgo tidak asing lagi dalam Liga Super selepas dia merupakan antara pemain import muda yang mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) daripada Sri Pahang FC selepas cemerlang bersama Tok Gajah musim lalu.

Hidalgo dalam 21 penampilan berjaya menjaringkan tiga gol dan melakukan 10 assist dan merupakan tonggak utama Hijau Kuning musim ini.

Bersama Kedah musim ini, Hidalgo mencatatkan lebih 1730 minit permainan dalam kejohanan Liga Super.

created by InCollage

Ariff menjadi tonggak utama Nafuzi Zain untuk membentuk gandingan bersama Bojan Ciger di benteng pertahanan Sang Kenari.

3. Muhd Ariff Farhan Md Isa

Jika tidak mengenali Muhd Ariff Farhan, mungkin bukanlah penyokong sejati Sang Kenari ia kerana pemain ini antara yang membesar bersama bola sepak Kedah.

Pemain berusia 27 tahun itu kembali ke Kedah pada 2021 selepas tiga tahun beraksi untuk PKNS FC dan Felda United.

Musim ini, Ariff menjadi tonggak utama Nafuzi Zain untuk membentuk gandingan bersama Bojan Ciger di benteng pertahanan Sang Kenari.

Dalam 19 perlawanan, Ariff mencatatkan lebih 1708 minit permainan dan ada merekodkan satu jaringan serta satu assist setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram