Ubi muda Selangor, import KDA dominasi pencalonan POTM Liga Super bulan Ogos


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Harith Haiqal dan Manuel Hidalgo mempamer persembahan cemerlang ketika bulan Ogos.

PERSAINGAN bagi mendapatkan takhta sebagai pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super untuk musim ini diteruskan dengan lima lagi nama disenarai pendek untuk bulan Ogos.

Selepas bulan lalu anugerah ini dirangkul oleh pemain Johor Darul Takzim (JDT), Feroz Baharudin, dominasi Harimau Selatan boleh diteruskan pada bulan ini selepas seorang bintang import mereka tercalon.

Pemain yang baru saja menyertai Harimau Selatan, Heberty Fernades terus tercalon selepas impak segera diberikannya telah membantu rekod tanpa kalah JDT dalam saingan liga.

Heberty mencatatkan tiga jaringan dalam kesemua aksi liga diharungi JDT Ogos lalu termasuklah ketika menumbangkan Sabah FC dan Perak FC.

370435560_867004668128844_5781618328345524463_n

Heberty Fernandes beraksi cemerlang pada Ogos untuk JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Akan tetapi, nama Heberty akan dicabar hebat oleh dua pemain tempatan yang mengalami peningkatan prestasi terutamanya pada Ogos.

'Ubi' muda Selangor FC, Harith Haiqal turut tersenarai selepas persembahan cemerlang membantu Gergasi Merah terus kekal menghuni tangga kedua Liga Super.

Bukan sahaja ampuh ketika bertahan, tetapi Harith turut tajam di depan gol apabila menghasilkan tiga jaringan sekali gus memberikan sinar dalam kalangan penyokong Selangor yang dahagakan angin baharu di posisi pertahanan.

Satu lagi nama yang mencuri tumpuan adalah bintang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo yang menjadi pemain Sang Kenari ketiga tercalon dalam POTM musim ini selepas Lee Tuck dan Ifedayo Olusegun.

Persembahan memukau Hidalgo terutamanya ketika aksi sengit bertemu JDT di Stadium Darul Aman sememangnya menjadi punca mengapa pemain ini tercalon. Hatrik bantuan gol oleh pemain ini menjadi nilai tambah kepada pencalonannya.

Dua lagi nama yang tersenarai dalam pencalonan kali ini adalah pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Kamal Azizi dan juga pemain Terengganu FC iaitu Engku Nur Shakir.

370564550_283828174358624_9050307503110480580_n

Persembahan Engku Nur Shakir mencuri tumpuan Kim Pan-gon. — Facebook/Terengganu FC

Kamal merupakan antara pemain yang terus konsisten beraksi untuk skuad Warga Kota sepanjang musim ini dan dia telah menjadi nadi kepada pertahanan KL City.

Sementara, perubahan posisi Shakir dalam formasi Terengganu telah membantu meningkatkan persembahannya hinggakan berjaya mencuri tumpuan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menyenaraikan pemain tersebut dalam senarai menunggu.

Muktamadkan undian anda dan pilih pemain paling berhak untuk merangkul anugerah POTM Liga Super untuk bulan Ogos. Anda boleh mengundi dengan klik pada pautan di sini.

Undian ini akan berakhir pada 12 September 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram