KEDAH DARUL AMAN FC (KDA FC) dalam landasan terbaik untuk merebut tempat kedua Liga Super sekali gus berpeluang ke pentas Asia musim depan apabila berjaya menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City) 1-0 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Turun tanpa tonggak utama seperti Manuel Hidalgo, Sang Kenari dilihat lebih berhati-hati ketika menyerang ke kubu pertahanan pihak lawan sebelum Ifedayo Olusegun menjaringkan gol penalti selepas Fadzrul Danel dikasari dalam kotak penalti sebelum tamat separuh masa pertama.
Nafuzi Zain jelas berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun Sang Kenari bermula perlahan.
"Alhamdulillah kita tahu sekarang ini penting untuk dapat mata di baki perlawanan terakhir ini, tiga mata sangat penting. Bagi saya permainan malam ini (Sabtu) sangat baik.
"Bermain dengan 'game play' yang kita rancang tengok dari 'first half' ke 'second half' kita menguasai permainan.
"Kita bermain dengan penuh sabar, kita tahu walaupun tanpa Hidalgo, Ariff Farhan, Amirul Hisyam. Fadzrul Danel memberikan impak yang sangat bagus untuk aksi ini.
"Saya rasa kita mempunyai beberapa peluang walaupun kita tahu sekali-sekala diancam KL City itu amat berbahaya.
"Tetapi pemain dapat, konsisten dari permulaan sampai akhir perlawanan yang mana keputusan 1-0 sudah memadai sebab kita tahu KL City bukan pasukan yang mudah," katanya selepas tamat perlawanan.
Pengendali berusia 44 tahun itu merasakan Kedah berada dalam landasan yang terbaik untuk merebut tempat kedua Liga Super musim ini.
"Situasi ini kita nampak lebih berkelebihan kepada Selangor, tapi kita masih ada empat perlawanan dan kita 'on the right track' kita akan 'fight' sampai akhir musim.
"Kalau kita akan menang baki empat perlawanan ini mungkin kita akan dapat 'second place'. Tahu benda itu sukar tapi itu tak mustahil 'depend' kepada pemain.
"Hidalgo mungkin dalam dua atau tiga minggu lagi mungkin 'next game' pun dia tak dapat main," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram