KECEMERLANGAN persembahan yang ditonjolkan oleh pemain Terengganu FC, Engku Nur Shakir telah berjaya menobatkan namanya sebagai pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super untuk bulan Ogos.
Shakir yang sebelum ini menerima kecaman hebat para penyokong skuad Penyu, mengalami transformasi prestasi terutamanya pada Ogos selepas Tomislav Steinbruckner mengubah peranannya dalam pasukan.
Hasil daripada persembahan Shakir, pemain tersebut begitu tajam di depan pintu gol apabila menghasilkan dua gol termasuk tiga bantuan jaringan dalam kesemua aksi Terengganu dalam saingan liga bulan lalu.
Shakir menghasilkan dua gol ketika bertemu Kelantan FC dan Kuching City FC termasuklah tiga bantuan jaringan ketika bertemu dua lawan yang sama serta Kelantan United FC.
Malah, kecemerlangan Shakir turut membolehkan namanya diletakkan dalam senarai menunggu skuad Harimau Malaya oleh Kim Pan-gon bagi dua aksi menentang Syria dan China namun dia tidak dipanggil jurulatih tersebut.
Kemenangan Shakir sebagai POTM Liga Super adalah cukup signifikan kerana dia adalah pemain Terengganu pertama meraih gelaran sedemikian pada musim ini.
Malah, Shakir turut menjadi pemain pertama daripada kelab Pantai Timur yang berjaya mendapatkan anugerah tersebut selepas gelaran tersebut sering didominasi oleh bintang-bintang Johor Darul Takzim (JDT), Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Shakir menewaskan empat lagi calon lain seperti Heberty Fernandes (JDT), Kamal Azizi (KL City FC), Manuel Hidalgo (KDA FC) dan Harith Haiqal (Selangor FC) untuk menjadi pemain tempatan keempat meraih gelaran ini selepas Arif Aiman, T. Saravanan dan Feroz Baharudin.
Engku Shakir (kiri) berada dalam senarai menunggu Harimau Malaya untuk perlawanan bertemu Syria dan China. — Facebook/Terengganu FC
Kemenangan ini amat penting bagi Shakir yang sebelum ini sering menjadi subjek kecaman penyokong. Diharap dengan persembahan yang semakin meningkat, pendukung Terengganu boleh terus memberikan dorongan padu kepadanya untuk terus bermain dengan cemerlang.
Aksi seterusnya buat Shakir dan Terengganu adalah perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Selangor pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram