Percaturan letak Farhan Majid menjadi, YCL berjaya dapatkan 'clean sheet' pertama Perak


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Farhan Majid cemerlang pada penampilan pertamanya bersama Perak FC. — Facebook/Perak FC

PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah gembira melihat pasukannya berjaya meraih satu lagi kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad, jaringan tunggal oleh Luka Milunovic sudah cukup untuk memberikan kemenangan tipis 1-0 buat Perak.

Lebih menarik, Yusri mempunyai lebih sebab untuk gembira dengan kemenangan tersebut kerana bukan sahaja meraih tiga mata penuh di tempat lawan, tetapi Perak akhirnya berhasil mendapatkan nirbolos (clean sheet).

Sebagai rekod, ia adalah kali pertama Perak memperoleh nirbolos dalam saingan Liga Super musim ini dan kedua dalam kesemua kejohanan selepas melakukan perkara sama dalam suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah FC di Ipoh.

383354214_329323072981408_6650647507689643724_n

Barisan kejurulatihan Perak meraikan kemenangan mengalahkan Negeri Sembilan. — Facebook/Perak FC​​​​​​

Detik indah itu nyata menggembirakan Yusri kerana dia melakukan tindakan berani dengan tidak menurunkan penjaga gol T. Shaheeswaran.

Sebaliknya, Yusri meletakkan Farhan Majid sebagai penjaga gol dengan pemain itu berjaya mendapatkan nirbolos pada penampilan pertamanya bersama-sama Perak.

"ALHAMDULILLAH, syukur kepada ALLAH kerana sekali lagi memberikan kemenangan kepada Perak di tempat lawan.

"Tahniah kepada semua pemain terutamanya penjaga gol yang baru saya turunkan. Saya cuma berdoa mudah-mudahan Farhan berani untuk beraksi dan syukur, clean sheet pertama di bawah kendalian saya dan dia berani melakukannya walaupun pada awalnya kami beraksi agak perlahan," kata Yusri.

Walaupun berjaya mendapatkan kemenangan, Yusri berkata, ia adalah sukar untuk diperoleh kerana pada pemain yang masih belum cergas sepenuhnya.

Oleh kerana itulah dia tidak menurunkan pemain seperti Wan Zack Haikal kerana tidak mahu menambah jumlah pemain yang mengalami kecederaan.

384774414_329323019648080_7898825442244702977_n

Milunovic meraikan jaringannya pada separuh masa kedua. — Facebook/Perak FC

"Selepas kami menjaringkan gol, saya mendapati Jesper Nyholm sudah mula kehabisan tenaga, ini disebabkan kesan daripada demam yang dialaminya sebelum ini. Disebabkan itu, kami terpaksa mengubah taktikal menjadi lebih bertahan demi mengekalkan kedudukan.

"Saya juga sebolehnya tidak mahu menggunakan Wan Zack Haikal kerana saya risau akan kecederaan bakal menimpannya pada perlawanan ini," jelas Yusri.

Walaupun NSFC ada memberikan saingan sengit kepada Perak, namun Yusri berjaya memastikan pasukannya dapat bertahan dan membawa pulang tiga mata dari Paroi.

Perak kini sudah mencatatkan lima kemenangan daripada 22 aksi Liga Super dengan 19 mata sudah berjaya dikutip. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram