Misi balas dendam terlunas, Selangor FC bangkit leburkan rekod 'unbeaten' TFC


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Antara aksi perlawanan di antara Selangor FC dan Terengganu FC pada Jumaat. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC berjaya membalas dendam terhadap Terengganu FC (TFC) selepas mudah menewaskan Sang Penyu dengan keputusan 4-0 di hadapan ribuan penyokong sendiri dalam perlawanan Liga Super pada Jumaat.

Kemenangan Selangor itu dua dalam satu apabila mereka ingin balas dendam tewas di pusingan suku akhir Piala Malaysia serta meleburkan rekod 'unbeaten' TFC sepanjang 12 perlawanan terakhir.

Anak-anak buah Tan Cheng Hoe hanya memerlukan 25 minit untuk membolosi gawang gol TFC yang dijaga rapi oleh Muhammad Rahadiazli Rahalim menerusi rembatan deras kaki kiri Yohandry Orozco.

Orozco

Orozco menjaringkan dua gol ketika menewaskan TFC. Facebook/Selangor FC

Sebelum tamat separuh masa pertama, Orozco terus menambah derita skuad kendalian Tomislav Steinbruckner selepas Rahadiazli gagal menampan bola dengan kemas sekali gus pemain Selangor itu melakukan tolakan mudah dalam gawang gol TFC.

Bersambung babak kedua, Tomislav cuba menukar taktikal dengan membawa masuk penyerang sensasi, Ivan Mamut namun gagal menghadirkan sebarang impak segera.

Faisal Halim terus menghukum TFC dengan jaringan kaki kiri selepas mudah menyempurnakan hantaran Muhd Mukhairi Ajmal pada minit ke-52 permainan.

Sebelum tamat aksi, pemain muda Selangor, Aliff Izwan berjaya memanfaatkan kesilapan Liridon Krasniqi menerusi rembatan deras pada minit ke-80 permainan.

Keputusan 4-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pegawai bertugas.

FH

Faisal turut menempa nama selaku penjaring buat Selangor FC. Facebook/Selangor FC

Kemenangan Selangor itu sekali gus memberi kelebihan buat Gergasi Merah untuk merebut slot ke pentas Asia musim depan selaku naib juara Liga Super.

Penyokong Selangor pula setuju dengan pendekatan yang dilakukan oleh Cheng Hoe untuk mengetepikan Richmond Boakye daripada membarisi kesebelasan utama.

"Alhamdulillah, terima kasih sebab tak letak Boakye dalam kesebelasan utama malam ini (Jumaat)," kata Asyraf Hakimi.

"Kalau macam inilah taktikal untuk Piala Malaysia, mesti kita dah masuk separuh akhir," luah Syaqiq Haqim.

"Shahrul Nazeem itu main pertahanan kanan pun boleh, tengok dia boleh cover tempat V. Ruventhiran," ujar Mohd Salleh.

"Ketiadaan Boakye melancarkan serangan Selangor malam ini, harap Cheng Hoe kekal dengan taktikal malam ini," jelas Daniel Haris. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram