LIGA SUPER semakin hampir menutup tirainya apabila tinggal beberapa sahaja baki perlawanan yang perlu dihadapi pasukan Liga Malaysia untuk menempatkan diri dalam kedudukan liga terbaik musim ini.
Meskipun sudah melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import dan pemain tempatan baharu masih ada pasukan yang belum berjaya mempertingkatkan prestasi mereka.
Walaupun prestasi pasukan tidak memberangsangkan, ada kelab yang masih belum memberikan kepercayaan kepada pemain import mereka untuk beraksi untuk skuad utama.
Majoriti senaraikan tiga pemain import yang masih belum berjaya memikat hati ketua jurulatih pasukan masing-masing untuk tembus ke dalam skuad utama:
Assifuah pernah bergelar penjaring terbanyak dalam saingan Piala Dunia 2013 Bawah 20 Tahun. — Facebook/KDA FC
1. Ebenezer Assifuah (Kedah Darul Aman)
Penyerang berbisa Kedah Darul Aman (KDA FC), Ebenezer Assifuah tampil cemerlang apabila berada di skuad KDA FC B.
Namun masih gagal memikat hati Nafuzi Zain untuk menggunakannya dalam skuad utama Sang Kenari.
Pemain kelahiran Ghana itu merupakan pesaing terdekat pemain JDT II, Gabriel Nistelrooy Tamin apabila mencetak 12 gol dalam perlawanan Piala MFL berlangsung.
Assifuah merupakan penyerang import berbisa kerana pernah menjaringkan hatrik ketika bertemu Sabah FC Bawah-23 Tahun di Stadium Likas, Sabah pada Mei lalu.
Kelincahan pemain berketinggian 1.76 meter (m) itu mempunyai peluang yang tinggi untuk menjaringkan gol menerusi tandukan mahupun rembatan kencang yang dihasilkan.
Selain itu, Assifuah pernah bergelar penjaring terbanyak dalam saingan Piala Dunia 2013 Bawah 20 Tahun ketika beraksi bersama pasukan negaranya, Ghana.
Yamaguchi mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol. — Facebook/Penang FC
2. Ryu Yamaguchi (Penang FC)
Pemain berdarah kacukan Malaysia, Ryu Yamaguchi beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila Penang FC diumumkan sebagai pemain ‘import’ baharu.
Yamaguchi sebenarnya mempunyai darah Malaysia walaupun dilahirkan di Jepun dan pemain yang berusia 22 tahun ini mempunyai ketinggian 186 cm dan beraksi di posisi pertahanan.
Malah, dia juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol sejak 2021.
Kerjayanya bermula pada 2013 apabila bersama Stoke City Football di Shanghai, China.
Ryu juga pernah bersama akademi Penang Wanderes pada 2015-16 sebelum berkelana ke England dan Sepanyol untuk bersama Brooke House College Football Academy Harborough, England dan CD Almunecar City di Granada, Sepanyol.
Walaupun mempunyai banyak pengalaman beraksi di Eropah, Ryu dilihat masih gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Kumbang dan tidak pernah tampil dalam mana-mana kejohanan musim ini.
Robertson hanya beraksi untuk skuad simpanan KDA FC yang beraksi dalam Piala MFL. — Facebook/KDA FC
3. Alan Robertson (Kedah Darul Aman)
Ketika jendela perpindahan awal musim lalu, skuad Sang Kenari membawa masuk pemain import dari Afrika Selatan, Alan Robertson yang dilepaskan kelab Filipina, United City FC.
Kehadiran pemain itu mencetuskan kegembiraan dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang cukup tertarik dengan struktur fizikal bek tengah terbabit.
Bagaimanapun, setakat separuh musim, Robertson hanya beraksi untuk skuad simpanan KDA FC yang beraksi dalam Piala MFL di samping Assifuah.
Keberadaannya bersama pasukan itu memainkan peranan cukup penting memandangkan pasukan tersebut berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Meskipun gaya permainannya tidak dapat diperhatikan dengan lebih lanjut, terdapat perkhabaran bahawa pemain berusia 29 tahun tersebut mempunyai skil yang setaraf Liga Super.
Sekiranya Nafuzi mahu mencipta satu gandingan baharu dalam skuad utamanya, dia berpeluang memanggil bek berketinggian 1.89 m itu.
Tetapi, kemungkinan untuk Robertson diberikan peluang adalah tipis memandangkan pihak kejurulatihan KDA FC tidak pernah membawanya masuk setiap kali pemainnya cedera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram