Sukan Asia: Mahu bawa pulang pingat emas, Aira harap beri aksi terbaik di final


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Aira merupakan bekas naib juara Kejohanan Skuasy Remaja Dunia. — AFP

PEMAIN skuasy negara, Aira Azman yang meraikan ulang tahun ke-19, berharap dapat menyumbang pingat emas buat Malaysia menerusi acara akhir berpasukan wanita ketika bertemu juara bertahan Hong Kong, di China, pada Sabtu.

Kemenangan itu bakal menjadi kejayaan terbaik buat naib juara Kejohanan Skuasy Remaja Dunia itu sebagai memperingati penampilan sulungnya di Sukan Asia.

"Saya hanya berharap kami akan beraksi dengan baik di peringkat final acara berpasukan. Tiada tekanan, jadi lakukan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Jumaat.

Dalam perlawanan peringkat separuh akhir hari ini, pasukan skuasy wanita negara menewaskan Korea Selatan 2-0, manakala Hong Kong menewaskan India 2-1.

Walaupun Aira tidak beraksi dalam perlawanan hari ini (Jumaat) dan perlawanan akhir Kumpulan B semalam (Khamis) menentang India, namun dia menyumbang mata untuk skuad negara dengan menewaskan Nepal, Pakistan dan Macau, sebelum ini.

Aira juga akan beraksi dalam acara perseorangan wanita, mulai Ahad ini.

Sejak acara berpasukan diperkenalkan di Sukan Asia Guangzhou 2010, Malaysia yang diketuai oleh bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, memenangi acara itu berturut-turut pada edisi 2010 dan Doha 2014.

Namun, skuad negara terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa di Jakarta-Palembang 2018 selepas tewas di tangan India pada peringkat separuh akhir. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram