Tiga bintang import antara calon 'dikorbankan' andai Elias sah milik JDT


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Elias dilihat mempunyai kualiti untuk menjadikan JDT sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara. — Agensi

MESKIPUN baru sahaja dinobatkan sebagai juara Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) seperti masih belum berpuas hati dengan skuad sedia ada.

Ini kerana mereka difahamkan sudah berjaya membawa masuk perancang kelahiran Argentina, Jalil Elias yang ketika ini beraksi di negaranya bersama San Lorenzo.

Khabar angin itu berpunca daripada satu ciapan daripada wartawan antarabangsa, Cesar Luis Merlo dengan laporan menyebut perpindahan tersebut akan disahkan selepas kontraknya tamat tidak lama lagi.

Gosip perpindahan terbabit sudah tentu mencetuskan keghairahan daripada penyokong skuad Harimau Selatan yang sedang sibuk mencari latar belakang mengenainya.

Berdasarkan informasi di laman sesawang transfermarkt, Elias yang berusia 27 tahun memiliki nilai pasaran mencecah €2.8 juta (RM13.94 juta).

WhatsApp Image 2023-09-30 at 16.51.14

Kehadiran Elias Jalil akan menghangatkan lagi jentera serangan skuad Harimau Selatan. Agensi

Sekiranya perpindahan berkenaan dimeterai, dia akan bergelar pemain paling bernilai dalam Liga Super, mengatasi bek tengah JDT, Jordi Amat.

Tidak cukup dengan itu, statistik Elias dalam kesemua kejohanan buat San Lorenzo musim ini juga cukup memberangsangkan apabila dia sudah merekodkan 43 penampilan dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan dicatatkan dalam tempoh terbabit.

Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai terus menantikan pengumuman rasmi daripada JDT mengenai kehadiran pemain terbabit dengan mereka terus memasang impian untuk beraksi lebih baik musim depan.

Bagaimanapun, melihat kepada pemain skuad Harimau Selatan ketika ini, mereka sudah memenuhi kuota sembilan import seperti mana ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Meskipun Heberty Fernandes hanya hadir sebagai pemain pinjaman, JDT masih memiliki perancang tengah, Leandro Velazquez yang tidak didaftarkan untuk baki musim 2023.

Situasi berkenaan bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan terpaksa menggugurkan seorang pemain import untuk membolehkan urusan pendaftaran Elias berjalan lancar.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang berkemungkinan bakal digugurkan jaguh bola sepak tanah air itu ketika jendela perpindahan akan datang.

1. Leandro Velazquez

Sekiranya ditanya rata-rata penyokong JDT, mereka pasti mengatakan Leandro merupakan salah seorang import terbaik yang pernah mewakili pasukan mereka.

Di samping menjadi wira ketika kejayaan dalam Piala AFC 2015, pemain kelahiran Argentina tersebut turut mempunyai peranan cukup penting dalam merancang serangan pasukan.

Berdasarkan statistik dalam Liga Super musim ini, perancang berusia 34 tahun berkenaan sudah merekodkan 16 penampilan dengan lima jaringan dan tujuh bantuan gol sudah dicatatkan.

Namun, beberapa bulan kebelakangan ini, Leandro sudah tidak lagi diturunkan akibat kecederaan yang dialaminya ketika aksi Liga Super berdepan Selangor FC Julai lalu.

381523119_689200043243357_4254584995817412991_n (1)

Leandro dikhabarkan masih memerlukan masa panjang untuk sembuh daripada kecederaan. Facebook/Empayar Darul Takzim

Situasi itu menyaksikan pengendali pasukan, Esteban Solari terpaksa mencari jalan baharu untuk meraih jaringan memandangkan kebolehan pemain berkenaan sukar dicari galang ganti.

Tetapi, dengan Leandro kini sudah berusia 34 tahun, terdapat kemungkinan khidmatnya tidak akan lagi ditagih musim depan dengan Elias dilihat sebagai pengganti terbaik.

Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan Leandro akan terus kekal bersama JDT memandangkan terdapat khabar angin mengatakan pemain berkenaan akan menerima status naturalisasi pada masa terdekat.

Namun, hal itu masih tertakluk kepada peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila tempoh keberadaan Leandro dalam negara masih belum mencukupi lima tahun secara berterusan.

2. Takahiro Kunimoto

Ketika jendela perpindahan kedua Liga Super berlangsung, JDT hanya membawa masuk dua pemain baharu, iaitu Kunimoto dan Heberty berdasarkan isu kecederaan yang dialami mereka.

Kedua-dua pemain berkenaan dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri apabila masing-masing berjaya menjaringkan gol dalam debut.

Namun, situasi berbeza dihadapi Kunimoto yang pada awalnya menerima sambutan cukup hangat daripada penyokong JDT apabila mereka melihat usia serta pengalaman dimilikinya.

367485309_863563105139667_1373860830238561470_n

Kunimoto mencuri perhatian ketika penampilan sulungnya berdepan Kelantan FC. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam saingan Liga Super, pemain kelahiran Jepun itu hanya diturunkan sebanyak sekali, iaitu ketika JDT meraih keputusan seri berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan.

Hal itu menyebabkan orang ramai terus tertanya-tanya mengenai peluangnya bersama skuad Harimau Selatan musim depan, lebih-lebih lagi selepas timbulnya berita mengenai kehadiran Elias.

Sekiranya Kunimoto mampu membuktikan kebolehannya dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) musim ini, terdapat kemungkinan dia akan kekal buat semusim lagi.

Bagaimanapun, hasrat itu semestinya sukar untuk direalisasikan memandangkan Solari tidak memberikan minit permainan buatnya ketika aksi pembukaan menentang Kawasaki Frontale.

3. Oscar Arribas

Ketika jendela perpindahan awal musim, JDT mengumumkan kehadiran beberapa import baharu, termasuk Oscar Arribas yang dibawa masuk dari kelab bawahan Sepanyol, FC Cartagena.

Meskipun dia dilabel sebagai seorang penyerang sayap, pendekatan taktikal berbeza daripada Solari menyaksikan pemain itu diletakkan sebagai bek kiri dengan lebih kerap.

Tetapi, perubahan berkenaan tidak memberi sebarang cabaran untuknya apabila dia berjaya menampilkan aksi terbaik setiap kali berada di atas padang.

Bagaimanapun, ia seperti tidak mencukupi buatnya untuk mencengkam tempat dalam kesebelasan utama dengan dia masih bergelut untuk menepikan bintang JDT, Corbin Ong.

muni_1677254590

Arribas masih belum tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam saingan Liga Super, pemain kelahiran Sepanyol itu sudah mencatatkan 20 penampilan, namun sembilan daripadanya hadir dari bangku simpanan.

Situasi itu dilihat masih belum cukup untuk mengesahkan statusnya sebagai tonggak skuad Harimau Selatan, sekali gus membuka kemungkinan kontraknya akan ditamatkan.

Walaupun ia hanya satu pemerhatian secara kasar, kesukaran Arribas untuk mencatatkan penampilan dengan lebih kerap akan memberi kesan mengenai tempoh permainannya buat JDT.

Jika pemain berusia 24 tahun itu tidak kekal bersama skuad Harimau Selatan, pasukan terbabit pastinya akan membawa masuk seorang bek kiri tempatan dengan pemain Terengganu FC, Azam Azmi Murad dikatakan sebagai calon terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram