Tomi akui tak terlalu kecewa, anggap jadual padat punca Sang Penyu rebah di laman sendiri


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Tomislav sudah tentu dipersalahkan atas kekalahan memalukan skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

SETELAH tersingkir daripada Piala Malaysia 24 September lalu, Selangor FC akhirnya bangkit dengan mengumpul tiga mata dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat.

Mereka yang turun dengan kesebelasan utama terbaik memiliki misi tersendiri dalam usaha muncul sebagai naib juara Liga Super 2023 supaya membolehkan pasukan itu layak ke pentas Asia musim depan.

Pendekatan berkenaan sememangnya membuahkan hasil apabila pemain tengah, Yohandry Orozco menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-26.

Import kelahiran Colombia tersebut kemudiannya sekali lagi muncul sebagai penjaring pada minit ke-41 setelah menghukum kealpaan benteng pertahanan Terengganu FC.

Asakan demi asakan diteruskan pada babak kedua apabila Selangor FC terus melebarkan jurang kedudukan dengan giliran Faisal Halim menghantui pasukan lamanya itu.

Kemenangan bergaya skuad Gergasi Merah kemudiannya disempurnakan dengan jaringan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-81, sekali gus memastikan kedudukan akhir 4-0 berpihak kepada pasukan pelawat.

384753817_303174889090619_8665195697715441991_n

Orozco (kiri) menjaringkan dua gol untuk membantu Selangor FC membenam skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Keputusan akhir itu sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah skuad Sang Penyu akhirnya lebur apabila kali terakhir mereka pulang dengan tangan kosong adalah ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) 9 Jun lalu.

Persoalan sudah tentunya diajukan kepada pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner yang mengambil keputusan untuk tidak menurunkan kesebelasan utama terbaik.

Namun, menurutnya, pendekatannya buat aksi Liga Super itu dibuat berdasarkan jadual padat yang dihadapi mereka beberapa minggu kebelakangan ini.

"Saya membuat keputusan untuk membuat penggiliran kerana pemain kami tidak boleh beraksi setiap empat hari. Tiga daripadanya kami berdepan Selangor FC dan satu ketika kami menentang Central Coast Mariners.

"Sudah tentu saya tidak boleh berpuas hati dengan keputusan tetapi, saya tidak terlalu kecewa kerana saya tahu kesemua pemain memberikan 100 peratus dengan ubi muda juga berpeluang menerima minit permainan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

380875588_297228493018592_6309371338777426801_n

Tomislav pastinya perlu membuat penggiliran terhadap pasukannya untuk setiap perlawanan. Facebook/Terengganu FC

Sebelum ini, skuad Sang Penyu sudah berdepan Selangor FC dalam dua aksi Piala Malaysia dengan kemenangan berpihak kepada mereka.

Kejayaan itu sekali gus mengesahkan tempat Terengganu FC dalam peringkat separuh akhir kejohanan dengan mereka bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Tambah jurulatih kelahiran Croatia itu, kepadatan jadual memberikannya cabaran untuk menurunkan pemain terbaik dalam kesemua baki perlawanan dengan masih terdapat tiga pertandingan yang perlu dihadapi.

"Kami mahu berada di kedudukan terbaik yang kami mampu. Tetapi, ketika ini, kami perlu mengenal pasti apakah sasaran utama kami."

"Kami masih berentap dalam Piala Malaysia dan Piala AFC. Dalam Liga Super, saya berharap pasukan ini dapat mengukuhkan kedudukan semasa meskipun ia amat sukar ketika ini," katanya lagi.

Terengganu FC kini berada di tangga keenam Liga Super selepas 22 perlawanan dengan lima mata membezakan mereka dengan Sri Pahang FC yang menduduki tangga kelima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram