Pernah robek gawang JDT, bintang muda Belanda jadi sasaran Liverpool ganti Mo Salah


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Tugas sukar menanti Liverpool sekiranya mereka mahu mendapatkan pengganti sebaik Mo Salah. — Agensi

SEPANJANG jendela perpindahan yang lalu, terdapat pelbagai laporan mengatakan bintang sayap Liverpool, Mohamed Salah akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Hal itu berpunca daripada permintaan gajinya yang semakin tinggi untuk memperbaharui kontraknya bersama skuad The Reds yang difahamkan bakal tamat pada Jun 2025.

Meskipun terdapat beberapa tawaran dibuat kelab Arab Saudi, Liverpool memilih untuk tidak melepaskannya memandangkan pemain berusia 31 tahun tersebut kini berada di kemuncak kariernya.

Namun, situasi berkenaan berkemungkinan bakal berubah pada jendela perpindahan akan datang apabila laporan antarabangsa mengatakan pasukan EPL berkenaan sudah mencari pengganti buat Mo Salah.

Penyerang sayap Borussia Dortmund, Donyell Malen dikatakan sedang dirisik bahagian pemantau bakat Liverpool yang cukup tertarik dengan kebolehannya di Jerman.

WhatsApp Image 2023-09-30 at 14.24.15

Malen (kiri) ketika berdepan pemain pertahanan JDT, Feroz Baharudin. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan Goal.com, The Reds perlu membelanjakan sehingga €30 juta (RM172 juta) sekiranya mereka berminat untuk mendapatkan bintang kelahiran Belanda itu.

Tanda harga berkenaan sudah tentunya menjadi penghalang buat Liverpool memandangkan pemain sayap terbabit kerap mengalami isu kecederaan dan pulangan gol yang masih belum prolifik.

Meskipun kurang dikenali, nama Malen sudah tentunya cukup sinonim dalam kalangan peminat Johor Darul Takzim (JDT) apabila dia pernah diturunkan dalam satu aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada November 2022 itu, pemain berusia 24 tahun berkenaan menjaringkan satu gol ketika Borussia Dortmund meraih kemenangan 4-1.

Selain Malen, beberapa pilihan lain turut terhidang buat Liverpool dengan penyerang sayap Brentford, Bryan Mbumeo dan bintang Crystal Palace, Michael Olise dikatakan sebagai pengganti terbaik buat Salah.

Musim ini, kapten skuad antarabangsa Mesir itu sekali lagi memainkan peranan penting buat skuad The Reds dalam saingan EPL apabila sudah menjaringkan tiga gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam enam penampilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram