MANCHESTER United kini sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat bekas pemain sayap Aston Villa, Anwar El Ghazi tatkala masa depan Antony dan Jadon Sancho bersama kelab itu kini tidak menentu.
El Ghazi kini berstatus sebagai ejen bebas selepas meninggalkan PSV Eindhoven secara persetujuan bersama pada minggu lalu dan dikhabarkan akan menyertai United.
Peraturan di Eropah masih membenarkan kelab mendaftarkan pemain baharu yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas tamat tempoh jendela perpindahan.
El Ghazi atau lebih dikenali sebagai Anwar di Belanda sebelum ini pernah menyarung jersi Ajax, Aston Villa dan Everton serta turut hadir di Stadium Emirates menyaksikan perlawanan antara Arsenal dan Manchester United baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, nama pemain sayap Belanda itu curi tumpuan rakyat Malaysia kerana mirip dengan nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Difahamkan El Ghazi turut mendapat tawaran beraksi di Arab Saudi, namun kini United membuka peluang untuk pemain berusia 28 tahun itu kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali United, Erik ten Hag berdepan masalah di bahagian sayap selepas Antony diarah bercuti sehingga siasatan ke atasnya berkaitan dakwaan serangan oleh tiga orang wanita selesai.
Sementara itu, masa depan Sancho di Old Trafford pula diragui susulan pertelingkahannya dengan Ten Hag.
Sebelum ini, Sancho secara terbuka menyelar kenyataan Ten Hag yang mendakwa dirinya tidak cukup bersedia kerana tidak berlatih dengan baik sehingga digugurkan daripada skuad menentang Arsenal.
Terdahulu, Newcastle United juga menarik perhatian penyokong domestik apabila sah menandatangani pemain berusia 16 tahun, Trevan Sanusi daripada skuad muda Birmingham City.
Berita tersebut menarik minat penyokong tanah air apabila nama pemain muda itu mirip dengan Menter Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Meskipun pemain sayap kiri itu berjaya menarik perhatian lebih daripada lima buah pasukan, tetapi bintang muda England itu telah memilih Newcastle sebagai destinasi baharu.
Antara kelab lain yang terlepas peluang mendapatkan khidmat Sanusi ialah Arsenal, Manchester United, Liverpool dan Chelsea. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram