GERGASI English Premier League (EPL), Liverpool meneruskan rentak kemenangan mereka dalam saingan liga apabila berjaya menumbangkan Wolverhampton Wanderers (Wolves) pada Sabtu.
Dalam aksi pertama EPL selepas tempoh aksi bola sepak antarabangsa, Liverpool bertandang ke gelanggang Wolves bagi meneruskan tekanan ke atas pendahulu liga iaitu Manchester City.
Akan tetapi, kesukaran melanda skuad kendalian Jurgen Klopp apabila Wolves memperoleh gol pembukaan menerusi Hwang Hee-chan pada separuh masa pertama.
Kebangkitan The Reds hadir di separuh masa kedua apabila Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada minit ke-55 sebelum Andy Robertson meletakkan pelawat di depan semasa permainan hampir tamat.
Andy Robertson meraikan penampilan ke-200 bersama Liverpool dengan jaringan. — Agensi
Gol sendiri oleh Hugo Bueno hasil percubaan Harvey Elliot pada masa kecederaan mengesahkan tiga mata buat Liverpool yang terus di belakang City dengan perbezaan dua mata.
Namun begitu, itu adalah cerita semasa dan selepas perlawanan. Sebelum aksi berlangsung terdapat insiden memalukan melibatkan kem Liverpool.
Bekas pemain mereka iaitu Peter Crouch telah jatuh seperti nangka busuk sebelum perlawanan dilangsungkan sewaktu dia mengambil crossbar challenge.
Dalam cabaran itu, Crouch bertarung dengan Joe Cole, seorang lagi bekas Liverpool yang bersama-samanya menjadi penganalisis di saluran TNT Sports.
Crouch bagaimana pun kalah dalam cabaran tersebut selepas tergelincir ketika hendak menendang bola hinggakan membuatkan Cole ketawa terbahak-bahak seperti yang tersebar di laman Twitter (X).
"Anda tahu tak? Sebab itulah mereka (TNT Sports) suruh kita buat benda ni (crossbar challenge). Saya akan menjadi meme untuk selamanya lepas ni," kata Crouch selepas tergelincir.
Crouch bermain untuk Liverpool daripada 2005 hingga 2008 sementara Cole hanya menyertai The Reds selama setahun ketika musim 2012/2013. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram